
SANDAKAN: Keputusan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menaikkan kadar bayaran cukai pintu bermula tahun depan adalah tidak wajar.
Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkata, MPS sepatutnya meningkatkan dahulu perkhidmatan mereka sebelum memutuskan menaikkan kadar bayaran cukai pintu.
Katanya, perkhidmatan MPS kepada pembayar cukai pintu dilihat masih rendah khususnya berkaitan parit yang tidak diselenggara dengan baik.
“Selain itu, rumput juga lambat dipotong, jalan raya taman perumahan berlubang serta rosak dan kutipan sampah selalu lambat.
“Saya kerap mengutarakan isu ini kepada pihak berwajib di Dewan Undangan Negeri Sabah dan Dewan Rakyat, tetapi masih tidak dapat ditangani dengan baik,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah menyifatkan keputusan MPS itu sudah pasti membebankan pembayar cukai pintu di daerah ini.

Katanya, bukan semua pembayar cukai pintu ini adalah golongan berkemampuan kerana ada diantara mereka bekerja keras untuk membuat bayaran setiap tahun.
“Ketika rakyat di negeri ini dibebani dengan kenaikan harga barangan makanan, MPS pula menaikkan kadar bayaran cukai pintu.
“Ini bukan satu keputusan yang tepat untuk MPS meningkatkan hasil kutipan mereka dengan membebankan pembayar cukai pintu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mempertikaikan tindakan MPS mengenakan bayaran yuran bantahan sebanyak RM5 bagi mereka yang ingin mengisi borang bantahan yang disediakan.
Katanya, bayaran yuran itu tidak menggalakkan orang ramai untuk membuat bantahan terhadap kenaikan kadar bayaran cukai pintu ini.
“Justeru, kerajaan negeri khususnya Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan perlu mengambil perhatian mengenai tindakan MPS ini,” katanya.
Terdahulu, notis kenaikan bayaran cukai pintu oleh MPS bertarikh 14 Ogos 2023 kini tular dan mendapat respon penduduk di daerah ini yang rata-rata tidak bersetuju.