Anda di sini

Memburu Tambong di penghujung Safar

Advertisement
 Kemek (kiri) bersama Supari (kanan), Alberto (dua kanan), Rusipin (dua kiri) dan Kapten Din( tengah) mengabadi kenangan dengan hasil botom ikan tambong merah gadang.
MERAH MEMBARA: Kemek (kiri) bersama Supari (kanan), Alberto (dua kanan), Rusipin (dua kiri) dan Kapten Din( tengah) mengabadi kenangan dengan hasil botom ikan tambong merah gadang.

MISI memburu tambong merah gadang pada trip Ogos lepas yang tidak kesampaian membuat Geng Perasap turun sekali lagi berburu bersama geng komplot yang ketagih menarik spesies ikan perkasa itu di spot Bonanza dan lubuk Mustaham yang popular dengan jolokan spot Jepun.

Terumbu karang Bonanza dan spot Jepun di perairan Kudat yang menjadi idaman setiap pemancing memang tidak pernah menghampakan trip memancing laut dalam kerana terumbunya menyimpan ribuan lubuk spesies ikan pelbagai jenis termasuklah ikan tambong, tenggiri, kerapu, ruby snapper,amberjack, lolong bara, dogtooth,keratang, kerisi bali,Red Emperor, Giant Travelly, cupak, golden snapper dan coral cod.

Tidak hairanlah kapal pancing di daerah ini sentiasa mendapat tempahan penuh sepanjang tahun oleh pemancing lokal dan luar negara.

Walaupun trip lepas banyak ikan gadang seperti kerisi bali, kerapu nemo, rainbow runner, jemuduk dan ruby snapper dinaikkan namun, hanya seekor tambong merah berjaya dinaikkan di sepanjang trip.

 Penulis (empat kiri) mengabadikan gambar kenangan bersama team Geng Perasap di jeti Kudat.
ALBUM KENANGAN: Penulis (empat kiri) mengabadikan gambar kenangan bersama team Geng Perasap di jeti Kudat.

Tambong merah yang banyak menghuni terumbu karang lautan Kudat dikatakan mula galak memakan umpan pancingan dasar bermula bulan September, Oktober sehingga sepanjang bulan Disember.

Kapal pilihan trip masih lagi menggunakan khidmat Kapten Din dibantu anak kapal Nash dan Amir selaku chef.

Komplot Geng Perasap kali ini diketuai Supari dan disertai team keningau terdiri dari Syukri King & Rusipin; Kemek dari Papar; Ady dan Alberto dari UMS; Kamarudin dari Kudat dan Zaki,Joehin & Canon dari Kota Belud.

Seperti biasa kapal kami bertolak dari jeti esplanade Kudat selepas solat zohor dan selepas membeli umpan serta bekalan makanan dan ais.

 Supari dengan hasil pancingannya seekor tambong merah mega.
BANGGA: Supari dengan hasil pancingannya seekor tambong merah mega.

Pelayaran kami ke destinasi pancingan memakan masa selama 9 jam dan sampai selepas waktu isyak ketika angin deras mulai reda dan kurang alunan gelombang samudera.

Sepanjang pelayaran kesemua rakan komplot mengambil peluang melelapkan mata selepas membuat persiapan alat pancingan supaya lebih bertenanga apabila bertarung dengan ikan mega kelak.

Ketika kami sampai di lubuk pertama kawasan terumbu Mustaham waktu malam, angin deras mulai reda dan alunan ombak laut sedikit meninggi diringi arus lemah.

Kesemua pemancing tidak sabar  melabuhkan umpan  sambil menunggu sambaran sasaran dan tiada sambaran ikan dasar sehinggalah tengah malam kapten Din dan Kemek berjaya  menarik naik dua ekor tambong gadang diikuti Ady menarik seekor tenggiri perkasa.

Sepanjang trip itu, kesemua pemancing tetap bersemangat melabuhkan umpan menunggu sambaran ikan sasaran yang tidak kunjung meligan umpan. Sunyi dan sepi hanya sesekali kedengaran bunyi mesin reel memecah kebuntuan dengan hasil ikan Anjang-Anjang dan pisang-pisang.

 Nash (kiri) dan Zaki turut berbangga dengan tambong merah hasil membotom di takat Bonanza.
PADU: Nash (kiri) dan Zaki turut berbangga dengan tambong merah hasil membotom di takat Bonanza.

Menurut kapten Din, fenomena ikan kurang galak meligan umpan kesan pasang surut air laut serta arus yang lemah dan tidak menentu.

Akhirnya kejutan berlaku dimalam terakhir Zaki berjaya menarik tiga ekor tambong gadang, Kemek tujuh ekor dikuti Syukri, Rusipin, Canon, Alberto,Nash, kapten Din dan Supari dua ekor.

Trip memburu tambong itu terpaksa kami tamatkan awal pagi hari keempat belayar pulang ke jeti Kudat selepas berjaya mendaratkan lebih 20 ekor tambung merah gadang, kerisi bali, wahoo, Barracuda mega, Jemuduk dan ikan-ikan karang. (Artikel sumbangan Pak Chad Hussin).

  • oleh
  • Advertisement