
SIPITANG: Seorang lelaki berumur 33 tahun dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah di Kampung Lubok Darat, di sini sejak empat hari lalu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mangsa pada mulanya dikatakan keluar ke hutan untuk mencari buah tetapi tidak kembali ke rumah sehingga hari ini.
“Panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada jam 1 tengah hari sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
"Pasukan bomba kemudian bertindak mendapatkan maklumat mangsa dan seterusnya memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar kawasan kampung.
"Sehingga jam 5.30 petang kelmarin, mangsa belum ditemukan dan operasi ditangguh dan disambungkan pagi ini,” katanya.
Menurutnya, operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
"Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.