Anda di sini

KLN hargai komitmen Duta Besar Republik Iran

Advertisement
 Mohamad (tiga kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Ali Asghar.
PENGHARGAAN: Mohamad (tiga kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Ali Asghar.

KOTA KINABALU: Kementerian Luar Negeri (KLN) menghargai komitmen dan kerjasama Duta Besar Republik Iran, Tuan Yang Terutama Ali Asghar Mohammadi selama bertugas di negara ini.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran terus diperkukuhkan.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada beliau kerana usahanya selama ini dalam mengukuhkan hubungan kedua-dua negara.

“Harapan saya supaya beliau terus mempromosikan perkara yang positif tentang Malaysia di Tehran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis meraikan Ali Asghar yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai Duta Besar Republik Iran ke Malaysia, di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, Wisma Putra memberi jaminan akan sentiasa bekerjasama demi memastikan hubungan erat yang sudah terjalin sejak sekian lama bertambah kukuh.

“Saya mendoakan agar Allah Yang Maha Kuasa melimpahkan rahmat kepada beliau serta keluarga dan selamat maju jaya,” katanya.

Turut hadir, Ketua Protokol, Datuk Mohd Aini Atan; Setiausaha Bahagian Asia Barat, Datuk Zahairi Baharim dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Luar Negeri Rusman Dulamit.

  • oleh
  • Advertisement