Anda di sini

Isteri meninggal selepas sehari suami maut kemalangan

Advertisement
Utusan Borneo
Utusan Borneo

PAPAR: Selepas suaminya maut akibat kemalangan di Jalan Kampung Biau di sini kelmarin, si isteri yang parah pula dilaporkan meninggal dunia selepas bertarung nyawa hampir 20 jam.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata mangsa wanita berumur 58 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Papar pada jam 5 pagi semalam.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas terbabit kemalangan bersama suami dan anaknya sebelum dihantar ke Hospital Papar.

"Wanita itu kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Papar kira-kira jam 5 pagi,” katanya.

Kamaruddin berkata, dua anak pasangan terbabit yang berusia 20 dan 30 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan sudah dibenarkan keluar hospital.

Terdahulu, dalam kemalangan jam 9 pagi kelmarin, pemandu berumur 63 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital manakala isterinya parah.

Dua anaknya hanya mengalami cedera ringan juga menerima rawatan di hospital yang sama.

Dalam kejadian itu, keempat-empat mangsa yang menaiki pacuan empat roda bergerak dari arah Papar.

Setiba di lokasi kejadian, sebuah lori yang bergerak dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke lorong mangsa. 

Kedua-dua kenderaan berkenaan dilaporkan bertembung sesama sendiri sebelum terbabas ke bahu jalan.

  • oleh
  • Advertisement