
KOTA KINABALU: Dua daripada tiga perkara yang dituntut oleh 12 wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah diputus dan dimuktamadkan oleh Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang Billy Dominic (gambar) berkata, perkara pertama yang dimuktamadkan ialah pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membolehkan wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dilantik dalam Lembaga LHDN.
"Kini kedua-dua kerajaan negeri berkenaan mempunyai akses kepada maklumat jumlah pungutan hasil Persekutuan yang dikutip di negeri masing-masing.
"Perkara kedua berkenaan Warta Kerajaan pada April 2022 yang juga dicabar dalam saman pemula (OS) terbabit iaitu Kerajaan Perpaduan memutuskan akan mengeluarkan warta baharu berkenaan penyelesaian sementara (interim solution) pemberian khas kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sekali gus akan membatalkan warta sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Billy berkata, perkara ketiga berkaitan pelaksanaan pemberian semula hasil Persekutuan 40 peratus, kerajaan juga memutuskan tempoh masa memuktamadkan pelaksanaan formula pemberian semula hasil Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak iaitu pada Julai 2024.
"Bagi pihak Pergerakan Pemuda UPKO Penampang, saya membaca dan meneliti ulasan-ulasan banyak pihak terkait keputusan 12 wakil rakyat PH Sabah menarik OS mereka.
"Saya berharap kesemua pihak yang membuat ulasan ini harus membaca dokumen OS berkenaan yang boleh diakses melalui laman mahkamah supaya benar-benar faham mengenai tuntutan yang dibawa ke mahkamah.
"Harus diketahui juga kelmarin (Rabu) mahkamah juga membenarkan mereka boleh memfailkan semula OS ini jika tuntutan satu perkara yang selebihnya tidak dilaksanakan," jelasnya.
Menurutnya, Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick selepas dilantik menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut mengisytiharkan tindakan perundangan ke atas kerajaan yang beliau ambil bersama-sama dengan wakil rakyat PH Sabah sebelum itu.
Katanya, Ewon akan menggunakan mesyuarat Kabinet untuk menuntut perkara yang sama beliau tuntut di mahkamah melalui OS berkenaan.
"Ewon menyatakan akan meneruskan OS berkenaan walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan terbukti beliau meneruskan OS ini selama hampir 10 bulan Anwar menjadi Perdana Menteri.
"Pada masa yang sama, beliau turut menuntut melalui Kabinet dan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
“Dua pertiga perkara yang dituntut diputuskan dan dimuktamadkan. Manakala, baki satu perkara lagi sudah diputuskan dan diberi tempoh masa untuk dimuktamadkan," jelasnya.
Beliau berkata, jika OS berkenaan diteruskan, maka ia akan jadi akademik. Tidak ada lagi keperluan meneruskan OS bagi tuntutan-tuntutan yang diselesaikan.
Billy turut menyatakan rasa bangga menjadi sebahagian daripada pasukan yang membantu Ewon mengangkat tuntutan-tuntutan berkenaan di mahkamah dan pada masa sama mengangkat penyelesaian di mesyuarat Kabinet dan Jawatankuasa Kabinet.
"Sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ewon, saya sangat tahu apa yang beliau perjuangkan melalui pelbagai platform terkait isu-isu hak Sabah.
"Dalam sambutan ulang tahun UPKO pada bulan Ogos lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Ali mengesahkan ketegasan Ewon dalam Kabinet berkaitan kepentingan Sabah.
"Saya amat pasti Ewon akan terus bertegas mengenai perkara ini dan akan memastikan keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata, tindakan Ewon dan plaintif lain memohon persetujuan mahkamah membenarkan OS difailkan semula jika baki satu pertiga berkenaan pelaksanaan pemberian 40 peratus membuktikan kebijaksanaan kesemua plaintif dan mahkamah turut bersetuju.