Anda di sini

Ahli Majlis Daerah disaran ambil pendekatan sesuai demi peniaga, pemilik premis

Advertisement
YAZID
YAZID


KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik (gambar) menyarankan Ahli Majlis Daerah Keningau supaya mengambil pendekatan yang sesuai sebelum membuat sebarang keputusan yang kemungkinan membebankan peniaga dan pemilik premis.


Antara pendekatan yang difikirkan sesuai adalah dengan mengadakan program turun padang bagi melihat sendiri keadaan premis dan bangunan di bandar Keningau, kemudian mendapatkan pandangan mereka tentang masalah yang dihadapi.


Selain itu katanya, ahli-ahli Majlis Daerah juga boleh mengadakan pertemuan bersemuka di 'meja bulat' bagi mendapat pandangan peniaga dan pemilik premis sebelum membuat sebarang keputusan termasuk surat amaran daripada Penguatkuasa Majlis Daerah.


"Kebelakangan ini, ramai peniaga dan pemilik premis mendapat surat amaran daripada pihak Penguatkuasa Majlis Daerah mengenai pengoperasian premis mereka.


"Sebelum membuat sebarang keputusan bagi sesuatu peraturan sebaiknya, pihak berkuasa mengambil kira permasalahan yang dihadapi oleh para peniaga dan pemilik bangunan.

 
"Langkah yang lebih sesuai adalah dengan membantu menyelesaikan masalah peniaga dan pemilik premis dan bukan sebaliknya kerana masalah-masalah yang dihadapi sekarang membebankan mereka, " katanya.


Yazid menambah, penguatkuasa telah melaksana dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik berpandukan dengan arahan dan keputusan ahli-ahli Majlis yang berkenaan.

 
Jelasnya, para peniaga bukan mengingkari peraturan yang ada, cuma sebaiknya ada tinjauan ke lokasi-lokasi agar dapat mengenal pasti keadaan sesebuah premis dan mendapat pandangan dari peniaga-peniaga dan pemilik premis.

 
"Bukan terus membuat keputusan yang membebankan kepada peniaga dan pemilik premis. Lebih-lebih lagi sekarang kos sara hidup semakin meningkat dan amat membebankan.


"Lebih baik sebelum menguatkuasa dan melaksanakan sesuatu peraturan adalah lebih 'molek' diadakan pertemuan dua hala di antara Ahli Majlis Daerah dengan para peniaga dan pemilik premis.


"Ini lebih merapatkan hubungan yang mesra diantara Ahli Majlis Daerah dan pemilik premis serta peniaga, " katanya.


Justeru saya berharap Ahli-Ahli Majlis Daerah boleh mengambil perhatian yang sewajarnya untuk membantu permasalahan yang ditanggung oleh peniaga dan pemilik premis demi kebaikan bersama.


 

  • oleh
  • Advertisement