Anda di sini

Mayat lelaki dibaham buaya ditemukan

Advertisement
 Mayat mangsa ditemukan dengan kesan gigitan buaya di bahagian lengan dan kepala.
MAUT: Mayat mangsa ditemukan dengan kesan gigitan buaya di bahagian lengan dan kepala.

LAHAD DATU: Mayat lelaki warga asing yang dipercayai dibaham buaya ketika menangkap ketam di kawasan laut Kampung Tinagian, Tanjung Labian, di sini, ditemukan pagi tadi.

Mangsa berusia 23 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap di tepi pantai berhampiran Pos ATM, Kampung Tanjung Batu, kira-kira jam 7.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai seorang lelaki telah diserang buaya di lokasi berkenaan.

Katanya, mangsa yang merupakan pekerja di sebuah ladang kelapa sawit itu dibaham buaya ketika menangkap ketam bersama tiga rakannya di kawasan laut berhampiran.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada awal pagi ketika mangsa bersama tiga rakannya sedang menangkap ketam di kawasan laut berkenaan.

“Ketiga-tiga rakannya melihat mangsa dibaham buaya dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas sebelum mangsa hilang dari kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Rohan Shah berkata, ketika mayat mangsa ditemukan terdapat beberapa kesan gigitan buaya iaitu di bahagian lengan kiri dan kepala.

Menurutnya, selain itu, terdapat juga kesan calar di bahagian dada dan belakang leher serta punggung mangsa.

“Polis dari Balai Polis Kencana yang tiba di lokasi kemudian membawa mayat mangsa ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat,”katanya.

Sementara itu, Dr Rohan Shah berkata, orang ramai yang menjalankan aktiviti di laut atau sungai diminta lebih berhati-hati terhadap serangan reptilia ini kerana ia mengancam nyawa manusia.

“Kes berkenaan adalah yang pertama bagi tahun ini dan satu siasatan laporan mati mengejut dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berhubung dengan kejadian ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement