Anda di sini

Ugut bunuh ibu gara-gara tidak diberi wang, lelaki didenda RM5,000

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki didenda RM5,000 atau penjara lima bulan kerana melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak membunuh ibunya yang berusia 71 tahun pada Julai lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman tersebut hari ini terhadap Mohammad Hanafiah Omar, 48, selepas dia mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di sebuah rumah di RPR Taman Sukma, Jalan Sultan Tengah di sini sekitar jam 7 malam pada 15 Julai 2023.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memarahi ibunya (pengadu) dan suami selepas pengadu enggan memberikan sebarang wang kepadanya. 

Tertuduh kemudian cuba membaling sebotol minyak wangi kepada suami pengadu tetapi dihalang oleh pengadu.

Susulan itu, tertuduh memaksa pengadu dan suaminya keluar dari rumah sambil memberi amaran jika pengadu tidak keluar rumah pada malam itu, tertuduh akan membunuhnya.

Bimbang akan keselamatannya, pengadu membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh pada keesokan harinya (16 Julai).

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
 

Advertisement