Anda di sini

SMK St Augustine Betong tetap bangga sebagai antara lima terbaik

Advertisement
Pasukan SMK St Augustine Betong merakam kenangan bergambar pada majlis penyampaian hadiah hari ini.
Pasukan SMK St Augustine Betong merakam kenangan bergambar pada majlis penyampaian hadiah hari ini.

BETONG: Terpilih sebagai lima pasukan terbaik sudah cukup memberikan semangat buat pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Augustine Betong yang menyertai Pertandingan Percakapan Berirama Nuri Madani Peringkat Negeri Sarawak 2023 dengan melepasi saingan 22 lagi sekolah lain, sekali gus melengkapkan aktiviti tahunan sekolah terbabit dalam kejayaan yang membanggakan. 

Tampil sebagai salah satu daripada lima pasukan terbaik, mereka terdahulu terpaksa melalui saringan secara rakaman bagi menentukan pasukan yang layak sebelum beraksi pada saingan akhir di Serian semalam. 

Pengetuanya Ujai Sambau melahirkan kesyukuran atas pencapaian yang diperolehi dan usaha murni guru pembimbing dan pelajar yang terlibat sehingga ke tahap yang boleh dibanggakan. 

"Meskipun hanya menduduki tempat keempat pada pertandingan tersebut namun keyakinan yang ditunjukkan semua pihak yang terlibat menjadi pencetus semangat untuk penyertaan yang akan datang agar lebih memberi cabaran dan tampil lebih bersedia dari pelbagai segi. 

"Yang lebih membanggakan ialah penyertaan kita yang satu-satunya sekolah menengah luar bandar yang berjaya sampai ke tahap ini membuktikan kita juga mampu bersaing bersama barisan sekolah-sekolah bandar," katanya. 

Beliau menjelaskan demikian ketika dihubungi tentang pencapaian sekolahnya pada pertandingan akhir di Dewan Baruk Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian.

Antara pasukan yang bertanding pada pertandingan akhir tersebut.
Antara pasukan yang bertanding pada pertandingan akhir tersebut.

Pada pertandingan tersebut, SMK Petra Jaya yang mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching dinobatkan selaku juara, diikuti SMK Tarat yang mewakili PPD Serian diumumkan sebagai naib juara disusuli SMK Chung Hua Miri di kedudukan ketiga. 

SMK St Augustine Betong yang mewakili PPD Betong di tempat keempat dan tempat kelima SMK St Anthony Sarikei yang mewakili PPD Sarikei. 

Advertisement