
TUARAN: Naib presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Henry Saimpon memohon agar kerajaan negeri mengutamakan projek cadangan penurapan jalan raya yang menghubungkan Mangkaladom-Palod-Gonipis-Poring di kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu dalam Bajet 2024.
Beliau juga mengharapkan agar kerajaan dapat menyegerakan pelaksanaan projek itu.
“KDM melihat laluan Kiulu ke Batu 28 iaitu Jalan Penampang-Tambunan penting bukan sahaja kepada penduduk setempat tetapi juga boleh menjadi jalan alternatif bagi laluan Kota Kinabalu-Tambunan terutama jika berlaku
kejadian tanah runtuh di Jalan Penampang-Batu 28.
"Sebelum ini setiap kali berlaku kejadian luar jangka iaitu tanah runtuh di jalan ini, pengguna jalan raya terpaksa menggunakan laluan yang jauh melalui Jalan Kimanis dan Pekan Keningau untuk sampai ke Tambunan, sedangkan Jalan Kiulu-Batu 28 boleh digunakan sebagai jalan alternatif.
“Melihat kepada keadaan inilah kita melihat Jalan Kiulu-Batu 28 perlu dinaiktaraf atau diturap terutama jalan Mangkaladom ke Poring," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Henry berkata demikian ketika mengulas keputusan Kementerian Kewangan tiga hari lepas untuk memanjangkan tempoh mengumpul maklum balas berkaitan Belanjawan 2024 melalui portal Cadangan Belanjawan 2024 selama seminggu sehingga 22 September depan.
Mengambil kira peluang keemasan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan itu, Henry yang juga anak jati Kampung Bongol, Kiulu berharap agar rayuan itu dapat diberi pertimbangan sewajarnya.
"Sejak Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah Sabah bermula 1985 bagi tempoh hampir 38 tahun, rakyat Kiulu ternanti-nanti Jalan Kiulu-Batu 28 dapat diturap sepenuhnya.
“Masih ada kira-kira 10 kilometer di laluan Mangkaladom-Poring yang masih belum diturap meskipun selepas hampir empat dekad,” katanya.
Beliau berharap agar kerja penurapan Jalan Mangkaladom-Poring ini dapat dimulakan sekurang-kurangnya sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya sebahagian besar penduduk kampung turut merasakan tempoh hampir 40 tahun itu sepatutnya cukup untuk merancang dan melaksanakan kerja penurapan jalan terbabit.
Dalam pada itu, Henry juga mencadangkan agar Pejabat Jabatan Pertanian diwujudkan semula di daerah kecil Kiulu.
Katanya langkah itu wajar diberi perhatian memandangkan sebahagian besar penduduk kawasan DUN Kiulu terlibat dengan aktiviti pertanian termasuk penanaman padi sawah dan padi bukit.