SINGAPURA: Carlos Sainz dan Ferrari “tidak melakukan sebarang kesilapan” ketika pemandu dari Sepanyol itu melakukan pemanduan sempurna untuk memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Singapura pada Ahad, sekali gus menamatkan harapan Red Bull untuk memenangi setiap perlumbaan pada 2023.
Tetapi pemandu pasukan Mercedes, George Russell kelihatan hampir gagal menahan sebak selepas terbabas pada pusingan terakhir ketika cuba mengejar dengan tayar baharu.
Lando Norris menduduki tempat kedua selepas satu pemanduan yang luar biasa untuk menangani cabaran dua pemandu Mercedes ketika Lewis Hamilton mendapat kelebihan dari kemalangan Russell untuk menduduki tempat ketiga.
Pendahulu keseluruhan kategori pemandu, Max Verstappen, yang memenangi 10 perlumbaan terakhir sebelum ini, hanya menduduki tempat kelima ketika Red Bull gagal memenangi perlumbaan buat kali pertama musim ini selepas satu hujung minggu di mana mereka kelihatan ketinggalan dari segi kepantasan.
Rakan sepasukannya, Sergio Perez, menduduki tangga kelapan.
Sainz mengawal perlumbaan waktu malam di litar jalanan dari petak pertama untuk meraih kemenangan kedua dalam kariernya, dengan kemenangan pertama ialah di Grand Prix British tahun lepas.
“Satu perasaan luar biasa. Kami tidak melakukan sebarang kesilapan sepanjang hujung minggu,” kata Sainz.
“Kami menguasai perlumbaan. Kami mempunyai satu peluang untuk memenangi satu perlumbaan tahun ini dan kami melakukannya dengan sempurna,” tambah Sainz.
Sainz kelihatan bersedia untuk kemenangan selesa sehingga kereta keselamatan maya diaktifkan pada 20 pusingan terakhir untuk memberikan dua pemandu Mercedes peluang menukar tayar baharu.
Russell dan Hamilton memecut pantas selepas itu dan memintas Charles Leclerc yang berkedudukan tempat kedua ketika itu sebelum akhirnya terpaksa akur di tempat keempat.
Tetapi ketika mereka menghampiri dua pemandu teratas, mereka gagal memintas ketika Sainz kelihatan ‘dilindungi’ oleh Norris untuk mengekalkan tempat kedua.
“Ia akan sengit di akhir perlumbaan. Kami memberikan Lando bantuan untuk menangani cabaran dua pemandu Mercedes dan pada akhirnya ia berhasil,” kata Sainz.
“Kereta keselamatan memaksa kami memasuki pit lebih awal dari apa yang sepatutnya dan saya tahu ia pastinya satu perlumbaan sukar.”
Russell dibenarkan untuk mencabar Norris sehingga perlumbaannya berakhir lebih awal apabila merempuh dinding penghadang, sekali gus memberikan Hamilton peluang naik ke podium (tempat ketiga).
“Ia adalah sangat mengecewakan selepas satu hujung minggu yang hebat,” kata Russell. “Saya merasakan saya mengecewakan diri saya sendiri dan juga pasukan. Ia sukar tetapi kami akan bangkit semula.”
Pemandu pasukan Alpine, Pierre Gasly menduduki tempat keenam sementara Oscar Piastri dari pasukan McLaren di tempat ketujuh.
Pemandu baharu, Liam Lawson, mengutip mata kejohanan yang pertamanya apabila menduduki tempat kesembilan untuk pasukan Alpha Tauri pada perlumbaan F1 yang ketiganya dan pemandu pasukan Haas, Kevin Magnussen melengkapkan 10 pemandu teratas yang menamatkan perlumbaan.
Walaupun menduduki tempat kelima, Verstappen masih pilihan utama untuk memenangi kejuaraan dunia buat kali ketiga tetapi jaguh dari Belanda itu masih gagal meraih sebarang kemenangan di Singapura.
Dia masih belum dapat mengesahkan kejuaraan sehinggalah perlumbaan Grand Prix Qatar dalam tempoh tiga minggu lagi tetapi berkata pasukannya akan bangkit semula pada Grand Prix Jepun, di mana litar itu lebih sesuai dengan kereta mereka. — AFP