
BARCELONA: Real Madrid bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Real Sociedad 2-1 dan merampas kembali tangga teratas La Liga Sepanyol pada Ahad, sekali gus mengekalkan permulaan sempurna mereka musim ini.
Sebelum itu, Sergio Ramos membuat penampilan sulung kedua bersama Sevilla ketika kemenangan tipis ke atas Las Palmas sementara Mason Greenwood bermain perlawanan pertama bersama Getafe.
Selepas Barca membelasah Real Betis 5-0 pada Sabtu, semuanya tertumpu kepada Real Madrid jika mereka boleh mengekalkan rekod sempurna dan mereka melakukannya dengan perlawanan sukar menentang Sociedad.
Dibantu dengan aksi lincah Takefusa Kubo, Sociedad membuka jaringan awal menerusi gol Ander Barrenetxea tetapi Real bangkit menerusi gol Fede Valverde dan Joselu untuk kemenangan kelima dari lima perlawanan.
Pemain tengah, Jude Bellingham, gagal mengekalkan rentak gol selepas menjaringkan lima gol dari empat perlawanan pertama bersama Real tetapi masih kekal penjaring terbanyak liga.
Real akan memulakan kempen Liga Juara-Juara musim ini dengan menanti kunjungan Union Berlin Rabu ini dan walaupun kehilangan penyerang sensasi Karim Benzema pada musim panas ini dan juga Vinicius Junior masih merawati kecederaannya, mereka masih pasukan yang harus ditewaskan.
“Kami bermula dengan bolos satu gol dan perkara yang baik di sini ialah kami berupaya untuk bangkit – apa yang buruknya ialah kami harus mengelak ia (bolos awal) berlaku,” kata Ancelotti.
“Kami melakukannya hasil komitmen, tenaga dan keazaman pasukan, kami mempunyai kesungguhan yang sukar dihadapi lawan selama 90 minit.”
Sociedad membuka jaringan di Stadium Santiago Bernabeu yang berwajah baharu selepas hanya lima minit sepak mula permainan apabila Kubo melakukan hantaran cantik kepada Barrenetxea.
Penjaga gol Real, Kepa Arrizabalaga berjaya menepis rembatan Barrenetxea namun gagal menepis rembatan bola muntah.
Kubo kemudian menjaringkan gol kedua tetapi gol itu tidak dibenarkan kerana ofsaid.
Joselu melihat cubaannya terkena palang dan Alex Remiro menafikan Dani Carvajal ketika Real mulai menemui rentak.
Valverde mengikat kedudukan buat Real ketika kurang seminit selepas rehat apabila menyempurnakan hantaran Fran Garcia.
Pemain pertahanan kiri itu kemudian mengumpan satu lagi gol, yang disempurnakan Joselu untuk meletakkan Real di hadapan buat kali pertama.
Joselu kemudian dikeluarkan dan diganti oleh Eduardo Camavinga ketika Real cuba mengawal permainan.
“Ini adalah Bernabeu dan penyokong kami membantu kami bangkit semula,” kata Joselu.
“Kami melakukan segala-galanya, kami berasa yakin dengan diri kami. Ada banyak kualiti dalam skuad dan kami bangkit dari ketinggalan sekali lagi.”
Real Madrid memiliki kelebihan dua mata di singgahsana liga berbanding Real Madrid, dengan kedua-dua pasukan ini masih belum tewas walaupun Barca seri pada perlawanan pertama menentang Getafe.
Sergio Ramos bermain bersama Sevilla buat kali pertama sejak meninggalkan kelab itu pada 2005 ketika mereka meraih kemenangan pertama musim ini dengan menewaskan Las Palmas.
Pemain pertahanan tengah berusia 37 tahun itu bermula dalam kesebelasan utama ketika kemenangan 1-0 pada perlawanan di Stadium Ramon Sanchez-Pizjuan, selepas tiba tanpa yuran perpindahan dari kelab Paris Saint-Germain (PSG).
Ramos, yang meninggalkan Sevilla untuk ke Real Madrid 18 tahun yang lalu, menyebabkan dia dibenci oleh ramai penyokong kelab, namun kepulangannya disambung meriah.
Dodi Lukebakio menjaringkan gol kemenangan Sevilla pada minit ke-71 dengan Ramos membantu kelab mengelak pintu gol dibolosi buat kali pertama musim ini.
“Saya merasai banyak emosi... ia adalah hebat untuk melihat rakan-rakan saya sekali lagi, kediaman saya, penyokong saya, ia unik sekali,” kata Ramos.
Dia mengakui ada berasa berdebar tentang reaksi penyokong selepas bermain untuk kelab musuh sejak begitu lama. — AFP