
MIRI: Pertunjukan ikan sama ada ikan hiasan atau sebaliknya boleh memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang perlindungan alam sekitar.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata, pertunjukan ikan adalah satu 'pemandangan' yang mempesonakan bagi dunia bawah air, di mana orang ramai boleh belajar tentang kepentingan melindungi lautan dan sungai di negara ini.
“Acara pertunjukan ikan juga boleh memainkan peranan penting dalam mempromosikan kesedaran tentang perlindungan alam sekitar.
“Seperti yang kita tahu, kehadiran ikan dalam ekosistem kita adalah penting.
“Ia juga boleh mengingatkan kita tentang tanggungjawab kita untuk menjaga alam sekitar,” katanya dalam ucapannya ketika merasmikan Pertunjukan Mini Betta Flare Festival Miri 2023 di MYY Mall di Lutong pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan wakilnya Kaunselor Chia Kah Leong.
Ting turut mengucapkan tahniah kepada Kelab Pencinta Ikan Betta Miri atas penganjuran acara tersebut.
Acara itu katanya, telah berjaya menarik peserta bukan sahaja dari Sabah dan Semenanjung, malah negara jiran Brunei dan Singapura.
“Pertandingan peringkat antarabangsa ini mempamerkan keindahan dan keunikan spesies ikan betta.
“Saya telah diberitahu bahawa acara ini adalah penganjuran keempat oleh kelab ini.
"Syabas kepada pasukan penganjur,” tambahnya.
Justeru, beliau berharap penganjuran program seperti ini dapat mengekalkan hobi memelihara ikan betta khususnya dalam kalangan belia di seluruh Malaysia.
“Pertunjukan ikan betta ini merupakan acara yang unik dan menarik di mana kita dapat melihat keindahan ikan ini dalam pelbagai warna dan corak yang menarik.
“Ini adalah hasil kerja keras dan dedikasi para peserta dalam menjaga dan menternak ikan ini,” katanya sambil menghargai usaha dan komitmen berkenaan.
Turut hadir ialah Pengerusi Kelab Jaapar Amat dan Pengasas Persatuan Ikan Kitani Patikang Brunei Darussalam Khairul Azmi Lakat.