
KUCHING: Pemohon yang mahu mendapat status'penduduk asal' (Bumiputera) Sarawak boleh mengemukakan permohonan di mana-mana pejabat daerah di seluruh negeri bermula 1 November tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, yuran RM100 dikenakan bagi setiap permohonan.
Beliau menambah, Kerajaan Sarawak akan menubuhkan satu jawatankuasa diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bagi mempertimbang setiap permohonan.
"Ini adalah undang-undang penting sebagai maklum balas kepada banyak pertanyaan. Merujuk kepada tarikh penguatkuasaan Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022, berhubung penentuan status 'penduduk asal' mana-mana individu, kerajaan telah memutuskan tarikh penguatkuasaan Ordinan tersebut ialah 1 November 2023,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menjelas lanjut Sharifah Hasidah berkata, sejajar dengan peruntukan Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022, kriteria kelayakan sangat mudah.
"Untuk diiktiraf sebagai penduduk asal Sarawak, seseorang itu mestilah warganegara Malaysia, anak kandung kaum asli Sarawak dan sama ada ibu atau bapanya adalah kaum asli Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata 'penduduk asal' juga membawa maksud 'Bumiputera' status khas.
Borang permohonan status 'penduduk asal' boleh didapati di pejabat-pejabat daerah di seluruh negeri.
“Setakat ini, orang ramai hanya pergi ke mahkamah tetapi selepas 1 November 2023, kita akan ada jawatankuasa khas untuk mengendalikan permohonan,” katanya.
Menurutnya lagi bermula November 2023, kanak-kanak hasil perkahwinan campur boleh memiliki tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan mendapat status 'penduduk asal' (Bumiputera/Peribumi) boleh melanjutkan pengajian di universiti-universiti awam atau institusi pengajian tinggi.
Pindaan itu akan menyelesaikan masalah mereka yang berstatus ‘penduduk asal’ dipersoalkan atau sebelum ini tidak diiktiraf oleh kerajaan.
“Saya sangat yakin, undang-undang ini (pindaan) boleh menyelesaikan isu-isu dan membantu mengekalkan ketenteraman awam,” katanya.
Sharifah Hasidah berkata beliau membentangkan rang undang-undang pindaan mengenai perkara itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lalu dan ordinan itu telah dipinda dengan sewajarnya.
Ia juga katanya, memberikan Sarawak hak untuk menentukan status ‘penduduk asal’ rakyat di negeri ini, termasuk mereka yang mempunyai keturunan campuran.