Anda di sini

Penganggur didenda RM2,000 kerana curi dua keping atap zink rumah keluarganya

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri dua keping atap zink rumah keluarganya.

Pengakuan itu dibuat oleh Willie Nyuai, 36, di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi sebaik dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di kediaman keluarganya di Skim Penempatan Semula di Taman Desa Wira, Jalan Batu Kawa di sini sekitar jam 6.30 petang pada 13 September 2023.

Berdasarkan fakta kes, abang tertuduh iaitu pengadu kes ini terdengar bunyi kuat seolah-olah ada orang sedang melakukan kerja pembinaan ketika berada di rumah ibu mentuanya.

Pada ketika itu, pengadu melihat tertuduh sedang menanggalkan bumbung zink rumah keluarga mereka, yang hanya bersebelahan dengan rumah ibu mentuanya.

Pengadu turut melihat bumbung zink tersebut telah diikat dan sedia untuk dijual.

Sebelum ini, tertuduh sering mengambil barangan dari rumah keluarganya dan menjualnya. Hal ini membuatkan ahli keluarganya memberi amaran kepada tertuduh supaya tidak melakukan perkara sedemikian, tetapi tertuduh akan memarahi mereka.

Susulan itu, laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada keesokkan harinya (14 September 2023). 

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah mencuri dua keping atap zink rumah keluarganya, malah perbuatan tertuduh itu telah disaksikan pengadu dan isterinya.

Tertuduh tidak diwakili peguam. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli.
 

Advertisement