
TAMPARULI: Pelajar adalah aset yang akan memimpin dan memajukan pembangunan negara pada masa akan datang.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli Madin Anak berkata, pelajar harus diberi galakan dan dorongan supaya boleh menyerlahkan sikap kepimpinan mereka.
Katanya, kepimpinan mereka perlu dilatih dari peringkat sekolah supaya pengalaman itu dapat diaplikasi dalam komuniti, daerah dan negara akan datang.
“Justeru, saya berharap ibu bapa dan guru harus komited membimbing pelajar bermula dari peringkat awal lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim merasmikan Program Mengangkasakan Motivasi Pelajar dan Majlis Penyampaian Skim Bantuan Khas (SBK), di sini hari ini.
Menurutnya, pencapaian akademik sahaja tidak memadai kerana banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian ketika ini.
“Pembangunan dan perkembangan dalam aspek keperibadian juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, menjadi guru bukanlah tugas mudah kerana ia menuntut kecekalan dan semangat mendidik yang tinggi.
“Guru adalah individu yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa.
“Para guru tidak jemu menaburkan bakti dan kita perlu hargai usaha murni mereka selama ini,” katanya.
Terdahulu, seramai 53 pelajar sekolah telah menerima Skim Bantuan Khas (SBK) daripada pihak Yayasan Sabah.
Turut hadir, Ketua Pentadbir Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan, Linda Anthony; Pengetua SMK Tenghilan, Markus Salagan dan Setiausaha Perhubungan Awam kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Romeo Sindeh.