Anda di sini

PEKEMA sambut baik pemberian peruntukan 1,000 unit permit terbuka bagi BEV, hidrogen

Advertisement
Ismail (tiga kanan) merakam kenangan bersama Premier Sarawak pada Majlis Perasmian EV-FY PEKEMA Sarawak dan SEDC Energy Sdn Bhd baru-baru ini.
Ismail (tiga kanan) merakam kenangan bersama Premier Sarawak pada Majlis Perasmian EV-FY PEKEMA Sarawak dan SEDC Energy Sdn Bhd baru-baru ini.

KUCHING: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Cawangan Sarawak menyambut baik pengumuman pemberian peruntukan 1,000 unit permit terbuka bagi kereta elektrik (BEV) dan hidrogen daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.

Presidennya Dato Ismail Abang Saufi dalam kenyataan akhbarnya semalam memberitahu, ini merupakan satu langkah kehadapan dalam usaha memperkukuhkan lagi industri automotif yang berlandaskan kuasa elektrik dan hidrogen.

“Kami (PEKEMA) telah berada dalam industri pengimportan automotif ini lebih daripada 30 tahun dan seperti semua sedia maklum, kami juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama pihak SEDC Energy Sdn Bhd pada tahun lalu untuk mengembangkan industri BEV di negeri ini.

“Justeru, pengumuman ini adalah satu pengumuman yang seharusnya kita sambut dengan tangan terbuka kerana kita percaya ia akan memberi impak positif kepada industri automotif EV di negeri (Sarawak) secara amnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail juga memberitahu, PEKEMA juga bersedia sepenuhnya untuk menyumbang khidmat kepada kerajaan negeri untuk mencapai sasarannya dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama yang beralih kepada kenderaan hijau.

“Kita juga sedia menawarkan apa-apa aspek perkhidmatan kepada kerajaan untuk menjayakan agenda BEV dan FCEV (Fuel Cell EV) ini.

“Sebagai contoh, kami juga telah menyediakan pusat servis yang mempunyai kepakaran menyelenggara kenderaan EV,” jelasnya.

Ismail menambah, sejak tahun 2017, PEKEMA mula membawa masuk EV ke negara ini dan Sarawak juga tidak ketinggalan dalam menyediakan sistem pengecasan pantas di beberapa bilik pameran ahlinya di Sarawak. 

Sehubungan itu, sejajar dengan penyiapan Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini, sebagai pemain industri, PEKEMA juga mengharapkan kerajaan negeri dan persekutuan dapat menyediakan lebih banyak infrastruktur pengecas pantas di sepanjang lebuh raya berkenaan yang sudah tentu akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk bertukar ke arah kenderaan hijau.

Advertisement