Anda di sini

Pecah amanah RM60,000, pengawal keselamatan dipenjara dan disebat

Advertisement
 

SIBU: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan berserta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah melibatkan wang sebanyak RM60,000 milik pelanggan bank.

Tertuduh, Lorenzo Ayum, 25, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu kemudiannya diperintahkan oleh mahkamah untuk menjalani hukuman penjara itu serta-merta.

Mengikut pertuduhan, Lorenzo didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan wang milik pelanggan bank sebanyak RM60,000 yang diambil dari peti besi syarikat tempat kerjanya untuk kegunaan peribadi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 November 2022, kira-kira jam 8.40 pagi di sebuah premis syarikat kawalan keselamatan di sini.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun serta tidak lebih 14 tahun dan dengan sebatan serta denda.

Berdasarkan fakta kes, pada 6 Januari 2023 di premis syarikat di Lorong Laichee, seorang juruwang membuat laporan berhubung kehilangan wang dari peti besi pelanggan sebuah bank.

Kiraan semula oleh dua juruwang kanan mendapati sejumlah RM60,000 telah hilang daripada jumlah sebenar sebanyak RM236,100, sebelum syarikat membuat siasatan dalaman dan memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Rakaman CCTV kemudian menunjukkan pada 4 November 2022, terdapat pergerakan yang mencurigakan oleh pekerja sesi pagi iaitu tertuduh.

Selepas mendapat tahu syarikat menyedari akan kehilangan wang tersebut, tertuduh tidak datang bekerja mulai 8 Januari 2023.

Pihak syarikat cuba menghubungi tertuduh namun tidak dijawab, sebelum satu laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut.

Sisatan polis yang dijalankan mendapati tertuduh telah bekerja dengan syarikat kawalan keselamatan itu sejak 8 Ogos 2022 dan bertugas sebagai 'vaulting officer' yang bertanggungjawab mengawal dan menjaga wang yang disimpan dalam peti besi milik syarikat.

Tertuduh juga mengaku mengambil wang tersebut dari peti besi sebelum menyembunyikannya di dalam seluar dalam yang dipakainya.

Lorenzo juga mengakui telah menggunakan wang tersebut untuk bayaran servis kereta, belanja harian serta hiburan.         

  • oleh
  • Advertisement