
EUGENE: Gufaf Tsegay memecah rekod dunia dalam acara 5,000 meter wanita dan Armand Duplantis menambah satu sentimenter dari rekod dunia dia sendiri dalam acara lompat bergalah pada pusingan akhir Liga Permata di Eugene, Oregon pada Ahad.
Tsegay, juara dunia acara 10,000 meter dari Habsyah, mencipta rekod dunia baharu dengan masa 14 minit 00.21 saat untuk mengatasi rekod lama 5,000 meter yang dicipta atlet Kenya, Faith Kipyegon di Paris dengan masa 14:05.20 pada 9 Jun lepas.
Atlet Kenya, Beatrice Chebet menduduki tempat kedua dengan masa 14:05.92, catatan ketiga terpantas.
Duplantis, atlet dari Sweden, kemudian memperbaharui rekod dunianya sendiri dengan melepasi paras 6.23 meter pada cubaan pertama, mengatasi rekod lama 6.22 saat dicipta di Cleremont-Ferrand, Perancis, pada 25 Februari.
Juara dunia dan juara Olimpik itu sekarang sudah memecah rekod dunia acara ini sebanyak tujuh kali. Lima dari rekod itu dicipta dalam kejohanan dalam dewan dengan dua rekod dunia dalam kejohanan terbuka dicipta di Hayward Field di Eugene.
“Saya sememangnya sentiasa melakukan lompatan yang sangat bagus di sini,” kata Duplantis kepada penonton selepas mencipta rekod dunia baharu pada lompatan pertamanya.
Dia mempertahankan rekod dunianya di Budapest bulan lepas apabila melepasi paras 6.10 meter dan juga melepasi paras 6.12 meter di Ostrava pada bulan Jun.
Tetapi dia gagal dalam beberapa cubaan melepasi 6.23 meter sejak bulan Februari, termasuk di Brussels minggu lepas.
Dalam aksi awal yang lain, Emmanuel Wanyonyo mencipta masa terpantas dunia 1 minit 42.80 saat untuk menewaskan Marco Arop – atlet yang menewaskannya untuk memenangi emas pada kejohanan dunia bulan lepas – dalam acara 800 meter.
Ia merupakan kali kedua dalam tempoh dua minggu di mana atlet dari Kenya itu mengatasi lawannya yang juga juara dunia dari Kanada selepas kemenangan di Xiamen pada 2 September dengan catatan terpanas dunia ketika itu 1:43.20.
Arop mendahului awal tetapi gagal menangani pecutan Wanyonyi ke garisan penamat dan terpaksa akur dengan tempat kedua. — AFP