MIRI: Seorang lelaki yang mengaku bersalah terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama tiga bulan dengan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan empat jam sehari oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh supaya menjalani pengawasan oleh pihak polis selama tempoh dua tahun.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi mengikut Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib 1954 setelah Dominic Unchang John Molla @ Watt mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
Menurut keterangan kes, Dominic, 27, dari Tudan di sini didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.30 pagi, 15 Mei tahun ini di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.