Anda di sini

Kampung Jawa Sentosa bakal digazet

Advertisement
 Rina (kiri) menyampaikan bantuan YaPIEM kepada mangsa kebakaran, disaksikan oleh Selabi (tengah).
SUMBANGAN: Rina (kiri) menyampaikan bantuan YaPIEM kepada mangsa kebakaran, disaksikan oleh Selabi (tengah).

TAWAU: Lebih 30 keluarga yang menetap di Kampung Jawa Sentosa boleh menarik nafas lega selepas penempatan mereka bakal digazet sebagai perkampung yang sah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Haji Jainal berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk meluluskan tapak rumah penduduk berkenaan sebagai gazet kampung.

Katanya, status tanah penempatan itu sebelumnya adalah tanah milik kerajaan persekutuan yang diberikan kepada kerajaan negeri.

“Namun, sehingga kini belum ada pembangunan yang mahu dimajukan di kawasan berkenaan dan sudah dijadikan penempatan penduduk sejak sekian lama.

“Justeru, atas keprihatinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, telah bersetuju untuk menjadikan tapak berkenaan sebagai perkampungan yang sah kepada penduduk sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan bantuan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) kepada 18 keluarga mangsa kebakaran Kampung Jawa Sentosa, di sini hari ini.

Rina yang juga Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan Sabah berkata, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) juga sedang memproses permohonan perkampungan berkenaan.

“Kita sedang menunggu pihak JTU untuk membahagikan lot penempatan berkenaan dan difahamkan hanya tinggal 30 peratus lagi dapat diselesaikan.

“Justeru, saya berharap berita gembira ini dapat meringankan lagi beban yang ditanggung oleh mangsa kebakaran di kampung ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, semua penduduk kampung berkenaan dinasihatkan supaya membina rumah mengikut spesifikasi yang dibenarkan dan tidak terlalu rapat.

“Saya berharap penduduk membuat perancangan dan penyusunan yang baik sekiranya mahu membina rumah di kawasan itu supaya ia tidak terdedah dengan masalah kebakaran,” katanya.

Mengulas mengenai sumbangan itu, pihaknya sangat berterima kasih kepada YaPIEM kerana membantu masyarakat yang memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan.

“Seramai 18 keluarga mangsa kebakaran menerima sumbangan YaPIEM sebanyak RM2,000 dan ia dilihat dapat membantu meringankan beban mereka.

“Saya berharap lebih banyak lagi agensi yang berkemampuan dapat menyalurkan bantuan terutamanya kepada mangsa bencana dan penduduk susah di negeri ini,” katanya.

Turut hadir, Pengurus YaPIEM Wilayah Sabah, Sarawak, Selabi Mohammad dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kukusan, Sukardi Mashuri.

  • oleh
  • Advertisement