Anda di sini

'Geng Dedek' disyaki aktif samun bersenjata tumpas

Advertisement
Azman (dua kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek pada sidang media di IPD Kuching, hari ini.
Azman (dua kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek pada sidang media di IPD Kuching, hari ini.

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menumpaskan kumpulan 'Geng Dedek' yang disyaki aktif melakukan samun bersenjata.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, tiga ahli kumpulan terbabit diberkas pada 15 September iaitu sehari selepas mereka disyaki merompak sebuah kedai runcit di Jalan Bayor Bukit, Tabuan Jaya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 27 hingga 43 tahun.

"Dengan tumpasnya 'Geng Dedek', pihak polis percaya telah selesaikan enam kes iaitu empat kes samun, satu kes curi kenderaan dan satu kes curi dalam bangunan yang dilaporkan berlaku di sekitar bandar raya ini dengan anggaran kerugian sekitar RM7,000," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPD Kuching yang turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata dan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah.

Azman berkata, modus operandi suspek adalah dengan mengacukan pisau pemotong daging untuk menakutkan mangsa, memakai topi keledar dan pelitup muka bagi melindungi identiti.

"Meskipun mereka bertopeng semasa melakukan jenayah, namun anggota kita mempunyai kepakaran dan maklumat untuk mengenal pasti suspek sehingga tertangkapnya mereka," katanya.

Menurutnya lagi, dua daripada suspek masing-masing mempunyai 13 dan 15 rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, kekerasan dan harta benda.

"Sementara itu, turut dirampas daripada suspek ialah sebuah motosikal, pisau pemotong daging,  topi keledar, telefon bimbit, pakaian dan pelbagai barang kemas untuk siasatan lanjut," katanya.

Jelasnya, sasaran suspek adalah premis kedai yang beroperasi 24 jam.

"Bagaimanapun, IPD Kuching mempunyai pasukan khas 'Counter Aggresive Team' (CAT) yang beroperasi 24 jam untuk menyelesaikan kes samun dan curi kenderaan," katanya.

Kesemua suspek direman bermula 16 sehingga 21 September untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat," katanya.

  • oleh
  • Advertisement