Anda di sini

Beberapa kawasan rendah di Limbang alami banjir kilat

Advertisement
Anggota APM Limbang menunjukkan paras air yang menenggelami jalan menuju Rumah Semena hari ini.
Anggota APM Limbang menunjukkan paras air yang menenggelami jalan menuju Rumah Semena hari ini.

LIMBANG: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Limbang mengenal pasti beberapa kawasan di daerah ini yang dinaiki air susulan hujan lebat sejak malam Isnin.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, selain itu laman web iHydro pagi Selasa menunjukkan paras air Stesen Ukong berwarna merah iaitu di tahap bahaya.

Katanya, sepasukan anggotanya turut mengadakan pemantauan di kawasan berisiko dinaiki air di daerah ini bermula jam 10.35 pagi.

“Antara kawasan yang dinaiki air termasuk Jalan Tanah Merah menuju Rumah Geling dan Rumah Liban, Jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Ukong, hujung Jalan Medamit, Jalan Semena dan Kampung Pangkalan Madang,Ukong dan Kampung Tanjong,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Tambahnya, kawasan SK Ukong turut dinaiki air setinggi 0.6 meter dan penduduk kampung memaklumkan sekolah tersebut tidak beroperasi.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

Beliau menasihati penduduk di kawasan berkenaan untuk sentiasa peka terhadap keadaan air dan berpindah jika tidak selamat.

Advertisement