
SIBU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang lelaki kerana melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan mengugut hendak membunuhnya.
Majistret Flavian Edward Henry menjatuhkan hukuman itu terhadap Chuo Teck Hua, 35, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia melakukan kesalahan itu pada 1 September lalu kira-kira jam 6.30 pagi di sebuah rumah di Lorong Wawasan 8B2 di sini.
Mengikut fakta kes, tertuduh meminta RM2 daripada ibunya yang berusia 61 tahun untuk mengisi minyak motosikalnya.
Dia kemudian marah dan menendang pintu utama rumah selepas wanita itu enggan memberikan wang tersebut.
Semasa keluar dari rumah, dia mengancam untuk membunuh ibunya dan abang-abangnya.
Ibunya kemudian membuat laporan polis yang menjurus kepada penahanannya pada 3 September lalu kira-kira jam 6 petang di rumah mereka.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Norfadilah Zainal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.