
KUCHING: Seorang bekas penghuni Sekolah Henry Gurney diperintahkan oleh Mahkamah Majistret hari ini dihantar semula ke sekolah tersebut selepas mengaku bersalah mengugut hendak membakar rumah bapanya, gara-gara wang RM100.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan menetapkan demikian terhadap pesalah muda berusia 20 tahun itu selepas meneliti laporan sosial dikemukakan oleh Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Mason juga memerintahkan tertuduh dihantar ke sekolah tersebut sehingga dia berusia 21 tahun.
Terdahulu pada 9 Ogos 2023, tertuduh mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini sekitar jam 9 pagi pada 7 Ogos 2023.
Berdasarkan fakta kes, ketika bapa tertuduh (pengadu) bekerja di LTAK, dia menerima panggilan daripada tertuduh yang meminta wang RM100 dan telefon bimbit adiknya.
Tertuduh seterusnya mengugut hendak membakar rumah keluarga itu jika permintaannya tidak dipenuhi.
Susulan itu, pengadu bergegas pulang ke rumah dan setibanya di situ, pengadu mendapati terdapat petrol dituang di ruang tamu rumah berkenaan, dipercayai dilakukan tertuduh.
Pengadu membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada hari sama sekitar jam 12 tengah hari.
Hasil siasatan mendapati tertuduh menyebabkan ketakutan dan trauma kepada pengadu dengan menakutkan secara jenayah iaitu mahu membakar rumah pengadu.
Difahamkan, tertuduh meminta duit daripada bapanya untuk membeli dadah.
Selain itu, difahamkan terdahulu pada 2017, tertuduh pernah dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney atas kesalahan terlibat dalam kegiatan dadah.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang sementara tertuduh tidak diwakili peguam.