Anda di sini

PTC SK Kunak 2 Fighters mampu lahirkan atlet bertaraf dunia

Advertisement
 Rukayah (duduk tengah) bersama atlet PTC Kunak 2 Fighters yang menyertai kejohanan
CEMERLANG: Rukayah (duduk tengah) bersama atlet PTC Kunak 2 Fighters yang menyertai kejohanan, baru-baru ini.

KUNAK: Kelab Taekwondo Perdana (PTC) SK Kunak 2 Fighters terus cemerlang dalam sukan seni bela diri ini walaupun baru ditubuhkan pada 23 Jun lalu.

Jurulatih PTC SK Kunak 2 Fighters, Affyzul Bernardo berkata, latihan yang bersungguh-sungguh dilihat membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh pingat dalam kejohonan Taekwondo Piala Merdeka, baru-baru ini.

Katanya, seramai 23 atlet terdiri 12 perempuan dan 11 lelaki dihantar pertama kali menyertai kejohonan yang membabitkan 500 orang peserta.

“Kelab kita menjadi sebutan ramai apabila turut berjaya memenangi dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa dalam kejohanan berkenaan.

“Walaupun atlet kelab kami hanya menjalani latihan tidak sampai tiga bulan, tetapi boleh memperoleh pingat dan memberi saingan sengit dengan pasukan lain,” katanya.

Menurutnya, PTC SK Kunak 2 Fighters sudah mempunyai lebih 90 orang atlet dan dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Saya bersyukur kerana pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Kunak II terutamanya Guru Besar Rukayah Haji Judin memberi sokongan padu terhadap penubuhan kelab ini.

“Dengan adanya sokongan ini, kelab kami akan mendapat sambutan ramai terutamanya murid-murid sekolah berkenaan,” katanya.

Affyzul yang juga Pesuruhjaya Sumpah berkata, pihaknya bertekad mahu melahirkan atlet taekwondo bertaraf dunia pada masa akan datang.

“Saya yakin, dengan sokongan pihak sekolah dan ibu bapa atlet, mampu menjadikan kelab ini disegani oleh pasukan lain.

“Kita berusaha membangunkan mutu sukan taekwondo di daerah ini dan satu kejohonan bakat peringkat sekolah rendah akan diadakan di Kunak pada November akan datang,” katanya.

Sementara itu, Rukayah menzahirkan tahniah kepada semua yang terlibat dan atlet yang berjaya memperoleh pingat dalam kejohonan berkenaan.

“Saya akan sentiasa memberikan sokongan terhadap kelab PTC SK Kunak 2 Fighters dan berharap lebih ramai lagi atlet yang boleh bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Pencapaian yang ditonjolkan atlet berkenaan juga menjadi pendorong kepada murid-murid yang lain supaya menyertai kelab taekwondo ini,” katanya.

Terdahulu, atlet yang menyertai kejohanan itu telah diiring oleh lima orang guru iaitu, Eva Lahi, Mohd Farhan Imran, Suraya Galip, Siti Nur Fadzila Jamian dan Nurshafiqah Suhaimin.

  • oleh
  • Advertisement