Anda di sini

Presiden Iran bertemu keluarga anggota maut dalam protes

Advertisement
Gambar serahan Pejabat Presiden Iran menunjukkan Raisi (tengah) bertemu ahli keluarga kakitangan terbabit di Mashhad, lewat Jumaat lalu. - Gambar AFP
Gambar serahan Pejabat Presiden Iran menunjukkan Raisi (tengah) bertemu ahli keluarga kakitangan terbabit di Mashhad, lewat Jumaat lalu. - Gambar AFP

TEHRAN: Presiden Iran Ebrahim Raisi telah bertemu dengan keluarga kakitangan keselamatan yang terbunuh semasa protes besar-besaran yang berpunca daripada kematian gadis Kurdis Mahsa Amini ketika dalam tahanan pada tahun lepas, media rasmi melaporkan kelmarin.

Raisi mengadakan pertemuan ketika satu lawatan ke bandar timur laut Mashhad pada Jumaat, menjelang ulang tahun pertama kematian Amini, 22.

Iran dibelenggu tunjuk perasaan di seluruh negara selepas kematian Amini beberapa hari selepas penahanannya oleh polis moraliti Tehran ekoran pelanggaran terhadap akta pakaian yang tegas bagi wanita.

Beratus-ratus orang terkorban, termasuk beberapa anggota pasukan keselamatan, ketika protes berlarutan selama beberapa bulan dan ribuan orang lagi telah ditangkap.

"Raisi bertemu pada hari ini dengan keluarga pembela keselamatan,” kata agensi berita rasmi IRNA.

Pertemuannya termasuk dengan keluarga Danial Rezazadeh dan Hossein Zeinalzadeh, kata agensi berita Tasnim.

Rezazadeh dan Zeinalzadeh merupakan anggota pasukan separa tentera pro-kerajaan Basij yang terbunuh ketika campur tangan untuk meleraikan protes pada 17 November, kata media rasmi.

Kematian mereka didakwa angkara MajidReza Rahnavard, salah seorang daripada tujuh orang dalam badan kehakiman Iran yang kemudian dihukum mati berikutan hubungan mereka dengan protes.

Kelmarin, pihak berkuasa Iran menahan beberapa kumpulan atas tuduhan merancang untuk menimbulkan kekecohan dan menghasilkan kandungan bagi media musuh, menurut IRNA.

Agensi berita menyatakan sebahagian kumpulan tersebut dari wilayah kampung halaman Amini di Kurdistan, selain barat laut dan selatan Iran. - AFP\

Advertisement