Anda di sini

Pencapaian Man Utd terus merosot

Advertisement

Tewas 1-3 kepada Brighton di laman sendiri sementara Man City menewaskan West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris 

Penyerang Manchester United Rasmus Hojlund (kanan) menjaringkan gol namun selepas VAR (Video Assistant Referee) dimainkan jaringan ditolak pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester United dan Bright di Old Trafford, Manchester, kelmarin. — Gambar AFP
Penyerang Manchester United Rasmus Hojlund (kanan) menjaringkan gol namun selepas VAR (Video Assistant Referee) dimainkan jaringan ditolak pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester United dan Bright di Old Trafford, Manchester, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Krisis di Manchester United semakin meruncing apabila tewas 1-3 kepada Brighton di laman sendiri sementara Manchester City menewaskan West Ham United untuk mengekalkan hari yang sempurna dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu lalu.

Liverpool menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris buat seketika apabila menewaskan Wolves 3-1 pada perlawanan awal sebelum City merampas kembali kedudukan teratas liga.

Tottenham Hotspur menjaringkan dua gol dalam minit kecederaan untuk menewaskan Sheffield United 2-1.

Musim ini semakin di luar kawalan buat United, yang dibimbing Erik ten Hag walaupun memulakan musim dengan bersemangat selepas menamatkan kemarau kejuaraan dan menamatkan musim lepas di tangga ketiga liga.

Beberapa penyokong sudah mengimpikan saingan kejuaraan liga yang sudah lama ditunggu-tunggu namun sebaliknya mendapati mereka sudah ketinggalan sembilan mata di belakang City selepas kekalahan ketiga dari lima perlawanan.

United bermula dengan memberangsangkan di Old Trafford, terdesak untuk menamatkan permulaan buruk mereka musim ini tetapi bekas penyerang United, Danny Welbeck menyentak sorakan penyokong tuan rumah pada minit ke-20.

Gol minit ke-53 oleh Pascal Gross menyebabkan United semakin sukar sebelum pemain gantian, Joao Pedro menjaringkan gol ketiga, dengan gol sulung Hannibal Mejbri untuk United selepas itu hanya bertukar menjadi gol sagu hati.

Kemenangan liga yang keempat berturut-turut Brighton ke atas United itu membolehkan mereka melonjak ke tangga ketiga liga.

Ten Hag, yang ternyata kecewa dengan keputusan ini berkata ia adalah satu perlawanan dengan “jurang kecil’.

“Kami bolos gol dari serangan pantas mereka,” katanya. “Kami kemudian mempunyai satu tempoh di mana ia adalah agak sukar, kami berusaha mendapatkan satu gol dan ia tidak dibenarkan.

“Jadi ia satu tempoh  yang sukar. Ia belum memberi kesan tetapi kami akan bangkit dan jika kami terus bersatu, bermain sebagai sebuah pasukan, mengekalkan peraturan, kami akan kembali.”

Ten Hag, dalam musim keduanya di United, berdepan tugas sukar untuk menyelamat musim United, yang diselubungi masalah dalam dan luar padang.

Jadon Sancho disisihkan dari menyertai latihan bersama skuad utama selepas perbalahan secara terbuka dengan Ten Hag, sementara seorang lagi penyerang, Antony, diberikan ‘cuti’ oleh kelab ketika berdepan dakwaan salah laku keganasan domestik, dakwaan yang sudah dinafikan.

Manchester City kini memiliki kelebihan dua mata berbanding Liverpool dan terus mampu meraih kemenangan walaupun ketinggalan awal menerusi gol James Ward-Prowse di Stadium London.

Jeremy Doku mengikat kedudukan pada awal separuh masa kedua dan Bernardo Silva menjadikan kedudukan 2-1 sebelum gol ketujuh Erling Haaland musim ini memastikan kemenangan kelima dari lima perlawanan.

Sheffield United kelihatan berada di landasan untuk meraih kemenangan liga yang pertama mereka musim ini di Stadium Tottenham Hotspur.

Tetapi Spurs menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-98 apabila Richalison menanduk satu tendangan sudut Ivan Perisic sebelum Dejan Kulusevski menjaringkan gol kemenangan tidak lama selepas itu.

Pada perlawanan awal, Liverpool juga bangkit selepas prestasi hambar dalam separuh masa pertama menentang Wolves.

Cody Gakpo menjaringkan gol penyamaan 10 minit selepas rehat dan Andy Robertson meletakkan Liverpool di hadapan buat kali pertama pada minit ke-85 sebelum gol sendiri Hugo Bueno melengkapkan kemenangan 3-1 Liverpool.

Ia adalah kali ketiga musim ini di mana Liverpool terpaksa bangkit dari ketinggalan.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata pasukannya selayaknya menang selepas aksi cemerlang dalam separuh masa pertama tetapi menegaskan mereka tidak mampu untuk terus ketinggalan dalam setiap perlawanan.

“Bangkit semula akan membantu satu musim tetapi kami tidak mampu untuk terus melakukannya,” kata Klopp.

Pada perlawanan lain, Aston Villa menjaringkan tiga gol lewat untuk menewaskan Crystal Palace 3-1.

Palace mendahului 1-0 menerusi gol Odsonne Edouard dalam separuh masa pertama tetapi ketika Palace membayangkan tiga mata penuh, Jhon Duran mengikat kedudukan pada minit ke-87 sebelum penalti Douglas Luiz meletakkan Villa di hadapan buat kali pertama pada minit kecederaan.

Leon Bailey masih mempunyai masa untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Fulham memastikan pendatang baharu liga, Luton Town, tewas buat kali keempat berturut-turut apabila Carlos Vinicius menjaringkan gol kemenangan 1-0 sementara pada perlawanan lewat, Newcastle menewaskan Brentford 1-0 di St James’ Park untuk menamatkan tiga kekalahan berturut-turut.

Ia adalah kemenangan kedua Newcastle musim ini selepas Callum Wilson menyempurna satu tendangan penalti minit ke-64. — AFP

Advertisement