
KUCHING: Seorang lelaki didenda RM1,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh masuk ke dalam stor milik sebuah kedai menjual barangan keperluan sukan Januari lalu.
Mahmud Maliki, 35, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan sebaik didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan pencerobohan dengan memasuki sebuah stor milik kedai menjual barangan keperluan sukan di Jalan Simen Raya di sini pada 26 Januari 2023, sekitar jam 11 pagi.
Fakta kes mendedahkan sepasukan polis sedang menjalankan tugas ronda cegah jenayah pada hari kejadian, sebelum terlihat tertuduh berada di dalam sebuah bangunan yang tidak digunakan setelah terbakar.
Polis kemudian menahan tertuduh setelah mendapati tertuduh cuba menarik besi di dalam premis tersebut.
Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku melakukan pencerobohan di dalam bangunan tersebut dengan alasan untuk mengambil kayu.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.