Anda di sini

Laku khianat, lelaki gagal bayar denda dipenjara 12 bulan

Advertisement
 

SIBU: Seorang lelaki didenda RM4,500 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan.

Majistret Flavian Edward Henry menjatuhkan hukuman denda ke atas Timothy James, 37, dari Krangan Rusa di Krian, Saratok selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan cermin tingkap, pintu kaca, tombol pintu dan kabel penggera rumah tidak berpenghuni di Jalan Belatok Utara di sini pada 6 September kira-kira jam 1.30 petang.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
 
Mengikut fakta kes, pengadu dimaklumkan oleh jiran kakaknya bahawa rumah kakaknya dimasuki lelaki tidak dikenali yang merupakan tertuduh.

Tertuduh memecahkan tingkap menggunakan cangkul.

Selepas diperiksa, didapati cermin tingkap, kaca, tombol pintu dan kabel penggera telah rosak dengan anggaran kerugian RM5,000.

Bertindak atas laporan pengadu, polis menahan tertuduh kira-kira jam 8 malam hari sama di Lorong Sentosa 1.
 
Polis turut merampas cangkul, tukul dan playar daripadanya.

Dia bagaimanapun gagal menjelaskan denda itu dan diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Nor Fadilah Zainal.
 

Advertisement