
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerima Anugerah Stewardship Drug Demand Reduction (DDR) daripada International Society of Substance Use Professionals (ISSUP) Global berikutan ia menerajui pendekatan bersepadu, komprehensif, seimbang, diselaraskan dan berasaskan bukti untuk aktiviti pengurangan permintaan dadah.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Issup Global Joanna Travis-Roberts kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah yang mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Perasmian International Recovery Symposium 2023 (IRS 2023) di sebuah hotel di sini hari ini.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak berbangga untuk meneruskan komitmen dan sumbangan kepada pengurangan permintaan dadah di negeri.
Ia katanya, dilaksanakan menerusi kerjasama bersepadu dan mantap antara agensi penguatkuasaan dan bukan penguat kuasa yang berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat dan kumpulan terdedah dalam komuniti.
“Ia juga dilakukan dengan menyediakan sumber dan tadbir urus penyelaras yang berfungsi melalui One Stop Committe (OSC) peringkat negeri dan daerah serta Biro DDR Komuniti atau Biro Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Kawasan Penghulu,” ujar beliau dalam teks ucapan perasmian IRS 2023 yang dibacakan oleh Fatimah.
Abang Johari menambah, semua pihak harus menyedari bahawa usaha memerangi dadah bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan secara sendirian.
“Melalui kerjasama global, pertukaran idea dan tindakan kolektif, kita boleh mencipta impak mendalam.
“Visi bersama kita adalah untuk menyokong dasar penuh belas kasihan dan berkesan, mencabar stigma dan memastikan akses kepada rawatan dan pemulihan yang berkualiti untuk semua,” katanya.
Mengenai IRS 2023 Abang Johari berkata, acara ini merupakan bukti komitmen kolektif kerajaan negeri untuk menangani isu dadah dan penggunaan bahan, selain menyokong pemulihan dan memupuk masyarakat yang lebih sihat dan berdaya tahan.
Ketagihan katanya, tidak mengenal sempadan dan menjejaskan kehidupan tanpa mengira kewarganegaraan dan status sosioekonomi.
“Ia adalah cabaran global yang menuntut tindak balas bersepadu.
“Marilah kita mengiktiraf langkah yang telah kita lakukan dalam pemulihan ketagihan.
“Terima kasih kepada profesional penjagaan kesihatan, penyelidik dan organisasi sokongan. Kami telah menyaksikan kemajuan luar biasa dalam memahani ketagihan dan laluan kepada pemulihan,” katanya.
Sementara itu di majlis sama, Fatimah berkata seramai 896 peserta mewakili 23 negara menghadiri IRS 2023 dengan sejumlah 19 penceramah dan jurulatih terhormat berkongsi pandangan dan latihan mengenai pelbagai topik berkaitan pencegahan, rawatan, pemulihan dalam pengurangan permintaan dadah.
“Di IRS ini, kita juga akan menyaksikan pelancaran ISSUP Malaysia, yang telah diserahkan ke dalam rangkaian ISSUP Global National Chapter pada 16 September 2022; pelancaran Rangkaian Pemulihan Asia (ARN); penyampaian Anugerah Phoenix untuk mengiktiraf sumbangan cemerlang oleh individu dan organisasi dalam DDR dan pemulihan dan penyampaian Anugerah DDR Sarawak, anugerah tempatan khas untuk OSC Daerah Paling Aktif dan Biro Komuniti Paling Aktif (Biro MIDS Kawasan Penghulu),” katanya.
Pada acara itu, Fatimah turut berkesempatan menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan Jabatan Penjara Malaysia untuk melaksanakan rangkaian pemulihan melalui Sistem Pengurusan Kes Isu Sosial Bersepadu bagi menyediakan sokongan sosial dan rujukan untuk memulihkan banduan yang dibebaskan.
Hadir sama Timbalan Menteri KPWK Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri KPWK Mohd Razi Sitam dan Setiausaha Tetap KPWK Noriah Ahmad.