

Oleh: Lokman Hakim
ANEH perasaannya ketika memasuki sebuah lorong yang menempatkan dua majlis berbeza warna. Kematian sedang diusung masuk. Penyatuan dua jiwa juga sedang diarak di jalanan. Subhanallah! Kebetulan seumpama ini jarang berlaku. Seolah-olah ia eksperimen sosial. Nah, ada gelak tawa mengiring, bersipongang dalam kepala ini. Imaginasi sebegitu, tidak mampu dielakkan.
Di tanganku, senaskhah kumpulan puisi yang baru siap dicetak, masih hangat. Persis roti baru keluar dari ketuhar. Kelahiran yang mengiringi kematian. Seolah-olah arwah penulis telah menukar jasadnya ke dalam puisi. Meninggalkan kami dengan puitis misteri yang tersirat dalam puisi-puisinya yang sering kali gelap auranya.
Aku sepatutnya datang ke mari demi menyerahkan naskhah terbaru kepada penulisnya. Cik Puan Huruf. Ya, itulah nama pena arwah. Seorang penyair tersohor dan gothik persis Edgar Allan Poe atau Edogawa Rampo versi wanita. Karya-karyanya puisi kontemporari, menggambarkan realiti kehidupan metropolitan yang sangat berdikari. Beberapa akhbar tabloid memuat naik artikel memperkatakan kematian penyair ini. Sastera telah hilang sebutir mutiara!
Apa pula mutiara? Benakku membentak. Pemergian arwah ibarat suatu petanda sastera bakal karam di lautan kemodenan! Nakhoda sudah mati dituba anak-anak kapalnya. Teruk!
Serba salah pula rasanya mahu hadir ke majlis pengebumian ini. Arwah penyair tiada waris. Siapa lagi yang mahu menguruskan kerja-kerja penerbitan karya-karya masyhurnya selepas ini? Golongan penerbit yang ramai sudah gulung tikar itukah? Pasti tidaklah!
Buku itu segera aku sorokkan di dalam tas tangan. Nipis saja, saiz pun cukup-cukup untuk diselit dalam poket jeans. Rohana, seorang pengkritik sastera mendatangiku dengan wajah ketat tanpa emosi. Itulah Rohana, seorang wanita bermata helang. Otaknya lancar berfikir bak air terjun membelah ngarai apabila dibentangkan karya kreatif di depannya. Ada sahaja yang tidak kena. Tidak ekonomilah. Perlambangan tidak cocoklah. Kurang emosilah. Macam-macam.
Aku tidak akan menyerahkan kumpulan puisi terbaru Cik Puan Huruf kepada Rohana sekarang. Harus ada sela masa. Kena peka. Jangan jadi batu api. Kalau ikut rentak Rohana, memang dia kritik sahaja tanpa kira keadaan. Membayangkan puisi arwah dibedah dan dibogelkan ketika bacaan tahlil dilakukan itu amat menyakitkan hati. Hujah-hujah Rohana agak tajam, menyiat-nyiat bak belati. Mujurlah aku setakat ini tidak lut dikelar belati kata-kata itu. Masih mampu menulis tegar.
Bacaan tahlil berkumandang. Aku dipelawa Rohana agar menyertainya di dapur. Ada beberapa orang rakan penyair juga di situ, bertungkus-lumus menyediakan keperluan buat tetamu. Hadirin harus dijamu. Aib arwah harus dijaga. Rata-ratanya hadir ke mari sekadar mahu memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Jenazah arwah harus diperlakukan mengikut tuntutan syariat.
Tiada kelihatan seorang pun ahli keluarga arwah. Hal ini menjentik perasaanku. Nama Cik Puan Huruf dalam dunia kesusasteraan negara amat gah. Puisi-puisinya sentiasa menembusi media melangkaui sempadan politik, negara dan bahasa. Pada hari kematiannya, tiada setitis air mata ditumpahkan. Aneh amat.
“Puisi-puisinya dingin sekali. Meremang,” tutur Rohana, separa berbisik.
Kami masih berada di dapur mengasingkan gelas dan juga pinggan. Sambil-sambil itu kami memeriksa keadaan air yang dijerang. Uncang teh dikeluarkan. Bekas kopi juga disediakan. Aku selesa begini. Tidak mencampuri hal-hal pengurusan jenazah.
Suara Rohana begitu perlahan. Tahu pula jaga hati dan perasaan. Dia masih punya adab. Orang Melayu harus tahu berbudi bahasa. Semberono tidak membawa apa-apa. Hentam kromo memang bawa petaka. Aneh tengok Rohana begitu. Selama ini memang main lepas cakap sahaja. Lebih-lebih lagi di media sosial. Berdegar-degar ke segenap ceruk negara. Benda tidak masuk akal pun mudah tersebar luas. Mujurlah Rohana kawal diri. Di luar sana ada wartawan juga. Benda-benda sensasi dan tidak elok pasti mudah saja capai cuping. Lalu ditulis dengan tajuk bernada biadab demi mengumpan pembaca beremosi.
“Dia telah diracuni kematian yang sentiasa berada di dalam puisi-puisinya.”
Ya, Rohana tetap Rohana yang semua orang kenal itu. Memberi komentar semberono tanpa sebarang hormat mahupun memohon keizinan. Suaranya sedikit lantang pula kali ini. Aku perasan ada kerlingan tajam daripada tetamu. Leher masing-masing tegang, mata dijegilkan, sambil pandangan dilontar ke arah dapur. Ah, memalukan. Sudahlah Rohana itu sedang berbual denganku. Nampak macam kami sekepala pula.
“Cukupkah gula di dapur?”
“Teh atau kopi? Jenis apa? Perlukah dibeli sekarang?”
“Kasihan arwah, hidup sebatang kara.”
“Bila mahu dikubur? Lepas Zuhur atau Asar?”
“Tanyalah pak imam.”
Perbualan-perbualan sebegitu bersimpang siur hingga tidak lagi aku fahami. Tiada satu pun daripadanya bermakna bagiku. Orang kian ramai mengunjungi. Ada yang datang dengan maksud tersirat. Seperti aku. Namun apa yang tersirat itu tidak semestinya terluah. Begitulah aku akhirnya terus menemani Rohana yang tidak disukai orang itu. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu berbasa-basi dengan semua orang di sini. Mungkin mereka mengharap aku akan terus melayan karenah Rohana yang becok mulut itu. Aku menebaknya dari air muka hadirin yang datang.
Solat jenazah berlangsung di ruang tamu, sebaik sahaja jenazah selamat dikafankan. Van jenazah sudah bersedia di halaman rumah. Kami berdua tercatuk duduk dalam kalangan rakan-rakan perempuan yang lain di sudut tepi rumah, tidak jauh daripada jemaah yang mengerjakan solat. Sebak pula rasa hati ini. Air mata lekas-lekas diseka. Mungkin hidup kami, selaku penyair yang tidak terdorong untuk berkeluarga bakal membawa kami pada takdir seperti arwah. Sunyi, dikelilingi orang-orang yang tidak begitu rapat dalam hidup.
“Aku teringat sajak-sajak kritikan sosial arwah,” bisik Rohana lagi.
Tatkala rakan-rakan lain sudah mula merasa sebak, dia masih lagi punya renungan mata helang itu – kritis membongkari tanda-tanda tersirat di sebalik peristiwa.
“Kenapa itu?”
“Peranan keluarga. Tujuan anak-anak dilahirkan. Penyisihan diri daripada masyarakat.”
“Oh, jadi sekarang ini waktu yang sesuai nak bincang hal-hal gitu?” Nadaku sedikit memerli.
Menyedari nadaku itu, Rohana berhenti berkata-kata. Matanya liar cuba menebak situasi sekitar. Aku tidak memahami mengapa Rohana mendekatiku. Aku yakin, tiada sesiapa pun di situ yang menginginkan kehadiran Rohana. Maka, apakah dosaku hingga perlu melayan karenah wanita berhati kering ini?
“Mungkin nasibku nanti ... macam arwah,” ada getar dalam suara Rohana.
“... Aku ... Aku tak disukai sesiapa,” tambahnya lagi.
Terdiam aku mendengarnya. Selama ini aku yakin benar Rohana mengetahui hal itu tetapi tidak dipedulikannya. Bahkan dia kelihatan bangga dengan penyisihan dirinya daripada kelompok sastera negara. Aku silap penilaian selama ini. Apa lagi kejutan yang Rohana mampu hadirkan kali ini?
“Bukankah kau seorang pengkritik? Jika mahu digemari orang, kau harus berlaku adil dalam kritikan kau. Spektrum kena luas. Haruslah lihat dunia dan perasaan yang mengiringinya, bukan? Bila luas rangkuman, orang akan kagum. Kau tak kritik ikut sedap hati. Ada ilmu.”
Jeda, Rohana kehabisan kata-kata. Pandangan kami bertingkah lalu dilerai kekoknya. Ketika jenazah diusung keluar, kami menuruti dari belakang. Rohana menumpang keretaku tanpa aku mempelawanya. Keretanya itu elok saja diparkir di bahu jalan. Arwah ada banyak kontroversi mengiringi dunia sasteranya. Mengganggu emosi. Membangkitkan rasa jelik. Mendatangkan soal-soal eksistensialisme. Mendorong pembaca agar kemurungan setelah diyakinkan betapa hidup di dunia ini begitu tidak bermakna.
Selain itu juga, dunia sasteranya itu penuh kecurigaan. Arwah kerap kali ditipu. Karya-karyanya dicuri. Dijadikan bait-bait dialog dalam filem yang mendatangkan pulangan jutaan ringgit, tanpa secekak wang pun diberi pada arwah. Kadangkala diplagiat para politikus dan pelajar sekolah. Apa ada usaha menyelamatkan riwayat karya-karya kreatif pada waktu ini? Tiada. Ia tidak mendatangkan kesenangan dan juga kebahagiaan buat anak cucu pengkarya.
Entah bila pula Rohana membuka tingkap lantas membuatkan haba tengah hari yang perit memukul-mukul diiringi bau pencemaran udara yang teruk. Katanya, dia mabuk udara bila menumpang kereta yang tertutup. Rohana itu, aku percaya punya niat lain, sesuatu yang hanya aku boleh berikan. Sifat sesuatu itu pula, tidak dapatlah aku dapat teka. Hal itulah yang meresahkan aku.
“Jika tiada sanak-saudara, kawanlah jadi peneman. Jika tidak pun, kena campur dengan masyarakat. Taklah mati sunyi.”
Lalu dia menutur pula kalimat berikut: Apakah nasibnya sebaik ini, kalau berada dalam kejiranan yang langsung tidak bertegur sapa?
“Ana, aku tak rasa ada jiran-jirannya datang membantu tadi. Semua yang datang, rakan-rakan arwah. Macam kita ini, hah. Aku datang atas dasar komuniti. Sastera kita ini, kecil. Sengketanya kelakar, tidak beri manfaat dan tak beri sensasi pun. Bila sudah terlibat dalam dunia penulisan, kerap pula berkarya dan bergaul, mudahlah berkawan. Taklah sunyi, kan?”
Perbualan kami terbantut sebaik sahaja tiba di perkuburan. Lekas-lekas dibetulkan tudung yang sedikit senget. Asal tak selekeh sangat. Kelihatan kelibat sasterawan negara di sisi liang lahad. Rata-ratanya yang hadir membawa payung.
Cuaca berbahang biarpun langit putih diselimuti awan. Ia menghadirkan imej ketidakpastian. Kematian ini, tidaklah memuktamadkan apa-apa. Nasib karya mahupun hayat penyair tidak ditentukan hari pengebumian jenazahnya.
“Yang dikebumi itu jasadnya. Tapi karya-karyanya tidak terkubur. Terus hidup, mengetuk hati masyarakat agar tak lena diulit kepalsuan.”
Entah bebelan siapa pula yang kudengar di tanah perkuburan ini. Rohana pula langsung ghaib entah ke mana. Mungkin dia sudah mengerti, kematian ini tidak merapatkan jurang antara dirinya dengan aku. Hatta dengan sesiapa pun.
Tidaklah aku mengiringi jenazah hingga ke liang lahad. Terlalu sesak. Biarlah laki-laki yang mengerjakan. Kami ini datang demi mengaminkan doa itu sudah cukup elok. Cuma aku kebuntuan bagaimana mahu menyelesaikan isu penerbitan buku arwah. Belum sempat diberi naskhah pada penulis, meninggal dunia pula.
Hatiku mula gelisah tatkala tiada melihat kelibat Rohana. Mana mungkin dia ghaib begitu sahaja. Setahu aku, Rohana juga agak rapat dengan arwah. Biarpun, mereka berdua sering mengumpat antara satu sama lain. Ah, aku sering jadi pendengar umpatan kedua-dua belah pihak
Talkin dibacakan kedengaran sayup-sayup. Aku menanti di pondok yang didirikan di gerbang masuk ke tanah perkuburan sahaja. Serba salah untuk mendekati kelompok rakan-rakan penulis. Tidak tahu berbasa-basi dengan mereka sama sekali.
Jarak. Itulah keperluanku. Arwah juga sentiasa meletakkan jarak tertentu. Namun, karya-karyanya itu pula langsung menghapuskan jarak itu dengan pembaca. Kebanyakan penyair-penyair ini datang ke mari, seikhlas hati kerana memahami persamaan kami nan satu ini, yakni, jarak. Jarak yang harus dikekalkan demi memastikan kami terus waras.
Sekilas pandanganku terlontar ke bahu jalan. Terlihat pula Rohana di situ, di sebelah keretaku yang diparkir, sesekali meraup mukanya. Terdetik hatiku untuk mendekatinya
Ada air mata berjuraian membasahi pipinya. Sesuatu yang tidak pernah aku sangka. Rohana selama ini tidak pernah memperlihatkan sisi rapuh sebegini. Tidakkah dia sedar, betapa perlunya kami melihat sisi itu agar kami melayannya selaku seorang manusia yang memang tidak sempurna?
Perlahan saja langkahku diatur. Aku berhenti pada suatu jarak setelah mendapati dia sedang menahan esak tangis yang begitu memilukan. Ini bukanlah waktu yang sesuai. Dia harus diberi ruang untuk menyendiri sehingga ribut kehibaan itu reda. Tapi aku percaya aku ada sesuatu yang harus disampaikan kepada Rohana. Keadaannya kini, memerlukan tulisan arwah buat Rohana di dalam naskhah terbaru itu.
Ya, pada mulanya, aku tidak rasa Rohana layak beroleh dedikasi seperti itu. Sukar aku mahu menerima Rohana itu istimewa di hati arwah. Tapi melihat betapa hibanya Rohana, dengan kesukaran menahan esak tangis bak empangan pecah dan jari-jemari yang tidak keruan meraup mukanya, aku tahu, dia memang selayaknya punya tempat di hati arwah.
“Buku ... arwah?”
“Ya, bacalah ruangan dedikasinya.”
Terketar-ketar tangan Rohana menyelak lembaran demi lembaran. Wajahnya kemerahan dek kepanasan dan tangisan yang membuatkan matanya bengkak. Mekapnya terlerai dengan garis-garis hitam merembes jatuh ke pipi lalu ke dagu. Segera aku hulurkan tisu agar dia mengesat wajahnya yang berubah comot.
Usai membaca ruangan dedikasi itu, dia merenungku dengan pandangan sayu. Pantas aku mendakapnya. Aku biarkan dia menyembamkan wajahnya ke bahuku hingga rintihnya yang bergumam itu mereda.
Persahabatan mereka juga punya sisi ini. Seorang pengkritik dan pengarang, yang tidak pernah kelihatan sependapat di media sosial dengan episod sindir-menyindir yang tidak habis-habis. Sisi ini merupakan sisi manusia sepi yang sentiasa mengharap ada insan luar menjenguk rumah sepi itu lalu mempelawa penghuninya keluar berhibur.
Mungkin begitulah takdir kami, penyair di kota yang hampir mati denyut sukmanya ini. Berkubur dalam rasa terabai. Hanya kata-kata yang merungkai dan menyampaikan setiap kepedihan itu buat pembaca.

