
MILAN: Inter Milan meletakkan diri mereka sebagai pencabar kejuaraan liga apabila membelasah kelab jiran, AC Milan 5-1 dan melonjak ke tangga teratas Serie A Itali ketika juara bertahan, Napoli diikat 2-2 oleh kelab pendatang baharu liga, Genoa pada Sabtu lalu.
Empat kemenangan dari empat perlawanan membolehkan Inter mendahului kedudukan liga dengan 12 mata sempurna, dua mata di hadapan musuh lama mereka, Juventus, yang menewaskan Lazio 3-1 pada perlawanan awal.
Milan kurang satu lagi mata di tangga ketiga selepas kekalahan pertama mereka musim ini sebelum mengalu-alukan Newcastle United dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara pada Selasa.
Didorong oleh majoriti penyokong mereka di San Siro, Inter meraih kemenangan kelima berturut-turut dalam pertemuan berjiran ini dari semua pertandingan selepas dua gol Henrikh Mkhitaryan, gol Marcus Thuram dan dua gol lewat dari Hakan Calhanoglu dan Davide Frattesi.
Skuad kendalian Simone Inzaghi mengutip tiga mata penuh dengan satu prestasi yang menunjukkan kenapa mereka berjaya menewaskan Milan untuk melangkah ke final Liga Juara-Juara musim lepas dan mengesahkan status mereka sebagai pasukan pilihan untuk menewaskan kelab jiran untuk memburu kejuaraan liga buat kali ke-20.
“Kami memulakan musim dengan hebat dan kami mahu mengekalkan rentak ini,” kata Mkhitaryan.
“Kami semua di sini dengan sasaran yang sama, dan saya tidak peduli siapa yang bermain... jurulatih memilih sesiapa sahaja dan mereka memberikan segala-gala untuk bintang kedua (untuk kejuaraan liga kali ke-20).”
Thuram meneruskan permulaan memberangsangkan di Inter apabila pemain baharu kelab itu juga mempunyai peranan dalam gol pembukaan Mkhitaryan seawal minit kelima.
Penyerang antarabangsa Perancis itu mengelecek mlepasi Malick Thiaw sebelum mengumpan bola kepada Federico Dimarco, di mana rembatan liarnya berjaya ditolak oleh Mkhitaryan ke pintu gol.
Dan Thuram menunjukkan penguasaan Inter apabila melakukan rembatan kencang untuk gol kedua tujuh minit sebelum rehat.
Saingan kelihatan sudah berakhir ketika pada masa rehat tetapi Rafael Leao merapatkan kedudukan pada minit ke-57 selepas menerima umpanan Olivier Giroud.
Gol Leao adalah gol yang pertama dibolosi Inter musim ini dan ketika hujan mulai turun dengan lebat di San Siro, Mkhitaryan melenyapkan sorakan penyokong Milan dengan gol kedua peribadi hasil umpanan Lautaro Martinez.
Penalti Calhanoglu pada minit ke-79 dan penyudah kemas Frattesi menambah lagi luka buat Milan dan jurulatihnya, Stefano Pioli.
“Saya tidak fikir kami perlu meminta maaf kepada penyokong. Adakah and fikir kami bolos lima gol kepada Inter?” tegas Pioli yang pada 2023 tewas semua perlawanan berjiran kota Milan dengan agregat gol 12-1.
“Kami kecewa tetapi anda meminta kemaafan apabila anda sengaja tidak melakukan sesuatu.”
Usaha Napoli mempertahankan kejuaraan mulai tersentak di Genoa apabila dipaksa bangkit dari ketinggalan 0-2 sebelum seri 1-1.
Skuad kendalian Rudi Garcia, yang tewas kepada Lazio sebelum rehat bola sepak antarabangsa, kini ketinggalan lima mata di belakang Inter selepas keputusan seri di Stadio Luigi Ferraris, yang dibantu dengan gol pada 15 minit terakhir oleh Giacomo Raspadori dan Matteo Politano.
“Kami mempunyai banyak yang perlu dilakukan tetapi tidak mempunyai banyak masa untuk membuat persediaan pada perlawanan ini kerana ramai pemain baharu kembali dari bola sepak antarabangsa,” kata Politano.
Genoa mendahului 2-0 menerusi gol Mattia Bani, lima minit sebelum rehat dan Mateo Retegui menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-56. — AFP