
KUCHING: Pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah merancang beberapa pembangunan dan naik taraf yang akan dilaksana dalam kawasan bandar raya.
Demikian kata Datuk Bandar DBKU Hilmy Othman sambil menggesa agar pemimpin di peringkat akar umbi meningkatkan kemahiran dan berpengetahuan luas untuk lebih kompeten sebagai pemimpin dan pentadbir di peringkat paling asas itu.
"Ini kerana agenda pembangunan dan kesepakatan yang dibentuk itu berupaya menjayakan dan memberi impak positif untuk semua warga bandar raya.
"Kepimpinan anda dapat membawa warga bandar raya di kawasan masing-masing diterajui ke peringkat antarabangsa yang boleh dibanggakan.
"Ia bukan mudah tetapi dapat dicapai dengan semangat yang tinggi bersama semangat kerja berpasukan yang kukuh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Datuk Bandar Kuching Utara Bersama Komuniti di sebuah hotel di sini hari ini.
Menyentuh tentang pembangunan itu, Tebingan Kuching dan kawasan seberangnya sedang dijalankan beberapa kerja naik taraf.
"Ini termasuk kawasan berdekatan dengan bangunan Astana sedang dibangunkan sebuah muzium, naik taraf Taman Orkid dan Taman Botanikal.
"Pada masa yang sama, pembangunan itu akan memberi impak yang indah kepada bangunan kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri akan datang," ujarnya.
Beliau juga berkata, Jambatan Darul Hana sedia ada akan menjadi rangkaian penghubung bagi komuniti setempat menikmati keindahan dan panorama baharu yang disediakan di kedua-dua belah tebing berkenaan.
Program 'Car Free Day' yang biasa dijalankan pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan juga akan dipanjangkan sehingga ke kawasan komuniti seberang Tebingan Kuching tidak lama lagi.
Turut hadir di majlis itu adalah Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU Rudzaimeir Malek.