
TAMPARULI: Golongan belia digalakkan untuk mengaktifkan diri dalam persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam gejala negatif.
Pemaju Mukim Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin berkata, dengan adanya persatuan dalam kampung, para belia mampu menjadikan pergerakan itu bagi meningkatkan ekonomi, mendidik ahli dalam kemahiran tertentu sekali gus merapatkan hubungan silaturahim diantara masyarakat.
"Melalui persatuan juga, para belia boleh berbincang sesama sendiri serta bertukar-tukar pendapat dan paling utama adalah untuk menyatupadukan penduduk kampung itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Jersi dan Bola kepada belia-belia sempena Hari Malaysia 2023, di sini baru-baru ini.
Katanya, menyertai sesebuah pertubuhan belia atau NGO tidak akan merugikan sesiapa, kecuali mereka tidak mengikuti peraturan atau melanggar perlembagaan persatuan itu.
"Menyertai persatuan adalah salah satu cara belia untuk melibatkan diri dalam pembangunan negara, menggunakan tenaga, masa dan idea bagi menaikkan nama persatuan, di samping membantu masyarakat memerlukan," katanya.
Rizkam yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tamparuli turut mengucapkan selamat Hari Malaysia kepada semua yang hadir dalam majlis berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tiong Monggis, Posiding Lansiu berkata, dia menghargai sumbangan jersi dan bola futsal serta sedikit wang tunai sebagai suntikan kepada program belia di kampung itu.
"Dengan adanya sumbangan jersi dan bola ini, kami dapat mengadakan dan menyertai lebih banyak program sukan terutamanya sukan futsal," katanya.