Anda di sini

400 orang Sarawak ditipu skim pelaburan pembinaan hartanah 

Advertisement
Hishamuddin (tiga kiri) bersama mangsa penipuan skim pelaburan pembinaan hartanah di Sarawak. - Gambar Roystein Emmor 
Hishamuddin (tiga kiri) bersama mangsa penipuan skim pelaburan pembinaan hartanah di Sarawak. - Gambar Roystein Emmor 

KUCHING: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa siasatan jenayah dijalankan ke atas dalang penipuan skim pelaburan pembinaan hartanah yang bergiat aktif di Sarawak.

Setiausaha Agung MHO Dato Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima laporan hampir 500 individu menjadi mangsa penipuan skim ini dengan 400 mangsa adalah dari Sarawak dengan kerugian hampir RM5 juta. 

“Skim ini banyak menyasarkan masyarakat pedalaman di Sarawak yang susah dan begitu mengimpikan mendapatkan rumah namun akhirnya ditipu, rumah tidak dapat, duit lesap. 

“Kebanyakan mangsa sudah membuat laporan polis dan ada sebilangan besar mereka merasakan tidak ada maklum balas daripada pihak polis. 

“Jadi hari ini kita berjumpa dengan Ketua Polis Sarawak (Pesuruhjaya Polis Sarawak) Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri bersama-sama mangsa untuk menyuarakan rasa tertekan mereka ditipu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pekarangan luar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini selepas bertemu dan menyerahkan penyataan tambahan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan surat mohon perhatian dan tindakan Pesuruhjaya Polis Sarawak berkaitan kes skim pelaburan pembinaan hartanah yang meragukan ini. 

Mengulas lanjut mengenai kes berkenaan, Hishamuddin berkata ia melibatkan sebuah syarikat yang menawarkan tiga skim, pertama skim pembinaan rumah di atas tanah sendiri, kedua skim rumah di lokasi pilihan syarikat dan ketiga skim pelaburan berkonsepkan hartanah dengan pulangan dividen. 

Ketiga-tiga skim yang ditawarkan dan dijanjikan ini katanya tidak dilaksanakan. 

Mengulas mengenai hasil pertemuan bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak hari ini, Hishamuddin berkata Azman telah mengambil maklum kes itu dan akan mengambil perhatian serius dalam kes tersebut.

“Kita telah mendapat maklum balas daripada pihak polis bahawa tindakan telah dibuat di mana pengarah syarikat atau pihak yang mendalangi skim ini telah dituduh dengan dua pertuduhan di Miri. 

“Ada hampir 13 laporan dalam siasatan, 18 laporan telah dibuka kertas siasatan. Ini menunjukkan ada tindakan dan kita mahu maklumkan kepada pengadu apa status terkini siasatan,” katanya. 

Tegas Hishamuddin lagi, pihaknya akan meneruskan gesaan ini dan merayu kepada mangsa-mangsa agar tidak ragu-ragu untuk tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil ke atas dalangnya. 

Sikap berdiam diri katanya, akan menggalakkan lagi skim penipuan dan lebih ramai lagi yang akan menjadi mangsa. 

MHO turut memberi amaran kepada ejen-ejen yang bersuhabat dalam tawaran skim ini serta menggesa siasatan turut dijalankan ke atas mereka. 

  • oleh
  • Advertisement