
TAWAU: Seramai 27 pelajar Program Pra Diploma Perdagangan Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau layak melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di universiti berkenaan.
Koordinator UiTMCSH Kampus Tawau, Muliyadi Guliling berkata, semua pelajar berkenaan berjaya mendapat keputusan lulus 100 peratus dalam semua kursus yang diambil.
Katanya, semua pelajar terbabit berjaya mendapat tawaran untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat diploma pada semester Oktober 2023 - Februari 2024.
“Empat pelajar daripada mereka turut berjaya memperoleh Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 4.00, manakala, 23 lagi mendapat keputusan sekurang-kurangnya 3.00 ke atas.
“Pencapaian cemerlang itu melayakkan mereka meneruskan pengajian ke peringkat diploma yang dijangka akan memulakan sesi kuliah semester akan datang pada awal Oktober depan,” katanya.
Menurutnya, keputusan empat pelajar berkenaan sangat membanggakan kerana semua kursus termasuk Bahasa Inggeris, Matematik, Perkaunan dan Perniagaan mendapat keptusan gred A.
“Pelajar berkenaan ialah Alainie Aisyalin Mustalim, Muhammad Haikal Ajla Mohd Shahrizal, Mohamad Ahsyaz Ali Dad Khan dan Nuur Rabiatul Adawiyah,” katanya.
Dalam pada itu, Muliyadi berkata, setakat ini, Program Pra Diploma UiTM menawarkan lima bidang pengajian iaitu Perdagangan, Sains, Sains (Aliran STEM C dan Sastera), Agroteknologi dan Pengajian Islam.
“Permohonan kemasukan ke program ini terbuka kepada Anak Melayu, Anak Negeri Sabah/ Anak Sarawak, Laluan Khas- Orang Asli, Atlet dan Orang Kurang Upaya.
“Bagi kategori B40 pula, yuran pengajian dan kolej penginapan adalah percuma, selain elaun sara hidup diberikan,” katanya.