
KOTA KINABALU: Program 'Plastic For Food' yang dijalankan di dua buah kampung di Pulau Gaya dekat sini berjaya mengumpulkan sebanyak 12 tan sampah.
Usaha Shangri-La Tanjung Aru Resort (STAR) sebagai penganjur dan penduduk Kampung Torong Logong dan Lobong untuk mengumpulkan sampah terbabit berhasil ditukar dengan 3.6 tan ayam kepada 450 keluarga di kawasan berkenaan.
Salah seorang penduduk Kampung Torong Logong Salina Banda, 33, berkata, sebanyak lapan plastik besar sampah digunakan untuk mengumpulkan sampah di sekitar kawasan rumahnya.
Menurutnya, sampah paling banyak dikumpul adalah botol air mineral dan bakul plastik.
"Tidak dinafikan sampah-sarap ini dibuang oleh penduduk setempat namun ada juga sampah yang hanyut daripada tanah besar ketika air pasang dan terdampar di kampung-kampung sekitar Pulau Gaya apabila air laut surut.
"Selaku penduduk di pulau ini, kita menyambut baik program seperti ini kerana boleh memberi lebih kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sesuka hati," katanya ketika ditemui semasa program itu semalam.

Sementara itu, Ketua Kampung Lobong Pulau Gaya Rajit Serong berharap program seumpama itu dapat diteruskan dari semasa ke semasa.
Katanya, aktiviti sedemikian penting terutama dalam mendidik penduduk di pulau itu mengenai penjagaan tahap kebersihan secara berterusan.
"Saya yakin sikap menjaga kebersihan itu dapat dipupuk secara perlahan-lahan dan akhirnya menjadi kebiasaan dalam kalangan penduduk di pulau ini," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Tanjong Aru Hotel Sdn Bhd Datuk Edward Dagul berkata, penduduk boleh menukar setiap satu plastik sampah yang dikumpulkan dengan satu kilogram ayam.
"Saya dapat melihat sambutan sangat memberangsangkan diberikan penduduk apabila kita berjaya mengumpulkan kira-kira 12 tan sampah.
"Sampah yang berjaya dikumpulkan akan ditukar dengan 3.6 tan ayam untuk diberikan kepada penduduk di dua kampung terlibat.
"Semua sampah ini akan diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk dibawa ke pusat pelupusan sampah Kayu Madang," katanya.
Turut hadir, Pengurus Besar STAR Conor Hadlington dan Pengarah Urusan Jetsin Sdn Bhd Datuk Koh Chung Jade.