Anda di sini

WARISAN sentiasa memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah

Advertisement
 Jimmy (kanan), Setiausaha Agung WARISAN Datuk Loretto Padua Jr dan Naib Presiden WARISAN Terrence Siambun (kiri) dalam satu gambar kenangan.
BINCANG: Jimmy (kanan), Setiausaha Agung WARISAN Datuk Loretto Padua Jr dan Naib Presiden WARISAN Terrence Siambun (kiri) dalam satu gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) sentiasa memperjuangkan hak serta kepentingan Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mantan Ketua Pergerakan Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Jimmy Lai berkata, pihaknya sangat bersetuju dengan perjuangan yang diketuai Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal khususnya pendirian dalam memperjuangkan hak serta kepentingan Sabah.
 
Jimmy berkata, perjuangan serta pendirian Shafie sangat  bernilai, selain berani menyuarakan pandangan serta komited terhadap perjuangan hak dan kepentingan rakyat Sabah.

"Beliau wajar diberikan sokongan penuh oleh rakyat Sabah, sebagai rakyat negeri ini, kita mahukan pemimpin yang jujur, berani mempertahankan hak rakyat Sabah dan menolak idealogi pelampau.

"Untuk ini, saya bersama pasukan saya akan memberikan sokongan penuh kepada perjuangan Shafie dan WARISAN secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, Sabah memerlukan sebuah partia politik tempatan yang benar-benar berdiri bersama rakyat negeri ini, tanpa perlu bergantung kepada mana-mana parti politik dari Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, hanya dengan cara itu, hak kepentingan rakyat Sabah dapat dilindungi sepenuhnya dengan lebih berkesan.

Jimmy berkata, pemimpin yang hanya mengikut arahan dari pemimpin peringkat Pusat tidak akan berpihak kepada rakyat, sebaliknya akan merugikan rakyat secara keseluruhannya.

"Mereka boleh mendapatkan kuasa yang diinginkan tetapi akhirnya mereka akan hilang kepercayaan dan sokongan daripada rakyat," katanya.

Jimmy sebelum ini pernah memegang jawatan tertinggi dalam LDP telah keluar dari parti berkenaan.
 

  • oleh
  • Advertisement