
LONDON: Seorang lelaki meninggal dunia selepas digigit anjing di tengah England, kata perkhidmatan kecemasan kelmarin, yang terkini dalam rentetan serangan yang mendorong Perdana Menteri Rishi Sunak untuk menjanjikan tindakan.
Perkhidmatan kecemasan dihubungi pada Khamis mengenai laporan bahawa seorang lelaki mengalami kecederaan serius selepas digigit oleh dua anjing berhampiran Birmingham.
“Sebaik sahaja tiba kami menemui seorang lelaki yang mengalami beberapa kecederaan yang membahayakan nyawa dan berada dalam keadaan kritikal,” kata West Midlands Ambulance Service.
“Malangnya, selepas ketibaan di hospital, di sebalik usaha terbaik ia menjadi jelas bahawa tidak ada lagi yang mampu dilakukan untuk menyelamatkannya dan dia disahkan meninggal dunia.”
Seorang lelaki berusia 30 tahun ditangkap pada Khamis kerana memiliki anjing berbahaya di luar kawalan,” kata polis Staffordshire.
Polis sekarang sedang menentukan baka anjing yang terlibat namun Sunak berkata baka American Bully XL, terkenal dengan penampilan yang besar dan sasa, telah disyaki.
Isu mengenai anjing berbahaya telah sampai ke peringkat tinggi politik UK selepas rentetan serangan.
Seorang budak perempuan berusia 11 tahun mengalami kecederaan serius selepas diserang pada Sabtu oleh anjing American Bully XL dan anak anjing kacukan baka ‘bull terrier’ Staffordshire.
Insiden itu mendorong menteri dalam negeri Suella Braverman untuk mendapatkan “nasihat segera” mengenai sama ada baka buli American Bully XL perlu diharamkan.
“Ini amat mengejutkan,” katanya dalam ciapan selepas serangan itu.
“American Bully XL adalah sejenis baka yang ketara sangat berbahaya kepada komuniti kami, terutama kepada kanak-kanak. Kita tidak boleh berterusan sebegini. Saya telah mengarahkan nasihat segera untuk mengharamkannya.”
Sunak menambah kelmarin: “Ini jelas bukan sekumpulan anjing yang tidak dilatih dengan baik. Ia adalah corak kelakuan dan tidak boleh dibiarkan berterusan.
“Ketika pemilik mempunyai tanggungjawab untuk memastikan anjing mereka dalam kawalan, saya mahu memberikan jaminan kepada orang ramai bahawa kami akan segera bekerjasama untuk mencari cara menghentikan serangan seperti ini serta melindungi orang awam.
“Pada hari ini saya telah menugaskan para menteri untuk mengumpulkan polis dan pakar untuk pertamanya mengenal pasti baka anjing di sebalik serangan ini dengan pendapat untuk mengharamkannya.”
Baka anjing ‘Terier pit bull’, ‘Japanese tosa’, ‘dogo Argentino’ dan ‘fila Brasileiro’ diharamkan di UK. — AFP