Proses perolehan projek Lebuh Raya Pan Borneo perlu diteliti sebaik mungkin menerusi kaedah tender 'prakelayakan' bagi menyegerakan pelaksanaannya

Oleh Hamkar Sarbinee
KUCHING: Proses perolehan projek Lebuh Raya Pan Borneo perlu diteliti sebaik mungkin menerusi kaedah tender 'prakelayakan' dalam usaha menyegerakan pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan perlu mengambil maklum cadangan berkenaan berikutan tender ini dibuka untuk kontraktor yang layak.
Menurutnya, ia penting dilakukan dengan segera bagi mempercepat sekali gus menyelesaikan pakej projek Lebuh Raya Pan Borneo yang turut menjadi tanggungjawab beliau.
"Apa yang saya cadangkan ialah 'pre-qualified tender' (tender prakelayakan) yang dibuka dengan kriteria tertentu.
"Sesiapa yang berminat (kontraktor) boleh masuk, kemudian akan dikenal pasti mereka yang layak dan bagi yang layak itu nanti kita akan dipanggil untuk memasuki tender sebenar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Outreach Sara Hidup Pelajar Tingkatan Enam dan Kolej Vokasional serta Karnival Sara Hidup Peringkat Negeri Sarawak 2023 di Dewan Hikmah, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, menerusi kaedah itu, proses tender akan lebih cepat dan menjadi mudah melantik kontraktor yang boleh diharapkan untuk melaksanakan projek.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu apabila ramai kontraktor yang mahu tender berkenaan, namun hasilnya tidak seperti yang dikehendaki.
Mengenai perkembangan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Ahli Parlimen Petra Jaya itu menjelaskan, pembinaanya kini memasuki 98 peratus siap.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah melihat sendiri dan berpuas hati melihat perkembangan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak.
Namun katanya, di Sabah masih lagi menjadi cabaran di mana ada 35 pakej dan daripada jumlah itu sebanyak 18 pakej bakal ditender.
Dalam pada itu, bagi projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) pula, fasa seterusnya dalam proses penilaian dan sekarang ini diusahakan dan di peringkat makmal.
"Proses tender akan dilaksanakan apabila makmal itu siap nanti," ujarnya.
Hadir sama pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah dan tetamu lain.