Anda di sini

Seludup pendatang dalam perabot, pasangan Perancis dipenjara di UK

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan


LONDON: Mahkamah UK kelmarin menjatuhkan hukuman penjara terhadap pasangan Perancis kerana menyeludup pendatang Vietnam, termasuk kanak-kanak, di dalam sofa yang dibuat khas, kata kementerian dalam negara.

Mahkamah Agung Hove di selatan England menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan enam bulan terhadap Junior Toussaint serta lima tahun dan lima bulan terhadap Andrene Paul, menurut pihak kementerian.

Kedua-duanya, yang bekerja sebagai pemandu penghantaran di Perancis, mengaku bersalah membantu dalam migrasi yang melanggar undang-undang UK.

Berlepas dari Dieppe di utara Perancis ke Newhaven Port di selatan pantai Inggeris pada April pada awal tahun ini, mereka menggunakan perabot untuk menyembunyikan seorang wanita Vietnam dan tiga anaknya di bahagian belakang van sewa.

Anggota Pasukan Tentera Sempadan di UK menjadi curiga ketika menggeledah van serta melihat pergerakan dari dalam sofa yang diubah suai, yang disembunyikan di bawah sebuah tilam dan perabot lain.

Dua pendatang itu disembunyikan di dalam sofa sementara yang lain disembunyikan di celah-celah perabot lain termasuk sebuah almari berlaci.

Defendan memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka tidak tahu tentang kehadiran pendatang itu di dalam van ketika mereka memandu untuk penghantaran perabot di London.

Namun pemeriksaan cap jari yang dilakukan oleh Pasukan Tentera Sempadan membuktikan penglibatan Toussaint dalam cubaan penyeludupan itu, kata kementerian dalam negeri.

Paul, yang pada mulanya turut menafikan penglibatannya, telah didapati melakukan satu siri kunjungan yang mencurigakan ke UK pada awal tahun ini, tambahnya.

Pihak kementerian berkata dia telah mengaku bersalah ketika bukti video aktivitinya sebelum ini ditunjukkan di mahkamah.

“Penjenayah telah semakin nekad sehingga ke tahap ekstrem untuk menyeludup orang merentasi sempadan bagi mengaut keuntungan disebabkan oleh usaha kami untuk membanteras mereka,” kata Chris Foster, dari seksyen siasatan jenayah dan kewangan kementerian itu.

“Hukuman berat pada hari ini menunjukkan tahap teruk jenayah mereka,” tambahnya dalam satu kenyataan. — AFP

Advertisement