Anda di sini

PM beri jaminan akan teliti sebaiknya keluhan rakyat kepada Agong, Permaisuri

Advertisement
Anwar menunjukkan surat-surat keluhan rakyat Sarawak dan Sabah yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong untuk perhatian beliau. - Gambar Chimon Upon
Anwar menunjukkan surat-surat keluhan rakyat Sarawak dan Sabah yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong untuk perhatian beliau. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan meneliti dan menyelesaikan sebaiknya keluhan yang disuarakan rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sewaktu Kembara Kenali Borneo.

Menurut Anwar, Al-Sultan Abdullah sangat terkesan dengan pengalaman dan kasih sayang yang ditunjukkan rakyat kepada baginda berdua dalam kembara yang bermula 3 hingga 13 September itu. 

“Pada Khamis lalu, saya menghadap Yang di-Pertuan Agong dan baginda masih sangat terkesan bicara dengan penuh perasaan bergelinang air mata kerana terkesan dengan kasih sayang rakyat tunjukkan kepada baginda berdua. 

“Baginda berikan semua surat yang dihantar kepadanya dan saya bagi jaminan saya akan arah seluruh jentera teliti setiap surat dan selesai sebaiknya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Perpaduan Sarawak di sini malam Sabtu. 

Sambutan tersebut dihadiri pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. 

Sempena dengan sambutan hari bersejarah itu, Anwar turut mengajak seluruh rakyat untuk mengingati jasa pengorbanan pemimpin terdahulu dengan semangat Segulai Sejalai. 

Beliau juga percaya Malaysia kini sudah sampai ke tahap yang lebih matang, buktinya kunjungan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke Sabah dan Sarawak disambut oleh seluruh rakyat. 

“Sabah dan Sarawak sudah berubah wajah, hari ini Sarawak punyai potensi menjadi rantau atau kawasan atau hab tapak pembangunan industri hijau, hidrogen dan beberapa aspek hiliran yang paling hebat di rantau ASEAN ini. 

“Sebelum mesyuarat Jemaah Menteri tadi (Sabtu), saya minta Premier beri pandangan kepada Jemaah Menteri persekutuan kerana ada beberapa bidang dan aspek yang disentuh beliau (tenaga diperbaharui, teknologi hijau, kenderaan elektrik) nampaknya Sarawak adalah negeri paling ke depan dalam Malaysia,” katanya. 

Anwar juga berkata, negara bangga apabila Kuching dipilih sebagai pangkalan sambutan Hari Malaysia yang ke-60 dan segala pujian diberikan kepada Sarawak bukanlah bersifat berlebihan tetapi itulah kenyataannya. 

Anwar turut memberi tabik kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas dukungan kuat kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau. 

Mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Anwar berkata seluruh Jemaah Menteri tahu pendirian Kerajaan Perpaduan, dan menjadi tanggungjawab beliau untuk melaksanakan janji yang termeterai dan bukan untuk dirunding.  

Katanya dengan kerjasama seluruh rakan-rakan Kabinet, hampir keseluruhan isu MA63 dapat diselesaikan. 

  • oleh
  • Advertisement