Anda di sini

Lapan pengebom Brussels pada 2016 didapati bersalah

Advertisement

Dijatuhi hukuman penjara antara 10 tahun sehingga seumur hidup

Sketsa mahkamah menunjukkan defendan (belakang) duduk dalam kandang tertuduh di mahkamah di Brussels kelmarin ketika sesi penjatuhan hukuman dalam perbicaraan lapan lelaki yang didapati bersalah terbabit pengeboman pada 22 Mac, 2016. — Gambar AFP
Sketsa mahkamah menunjukkan defendan (belakang) duduk dalam kandang tertuduh di mahkamah di Brussels kelmarin ketika sesi penjatuhan hukuman dalam perbicaraan lapan lelaki yang didapati bersalah terbabit pengeboman pada 22 Mac, 2016. — Gambar AFP

BRUSSELS: Mahkamah Belgium kelmarin menjatuhkan hukuman penjara antara 10 tahun sehingga seumur hidup terhadap lapan lelaki yang terbabit pengeboman pada 2016 di Brussels, sekali gus menamatkan perbicaraan jenayah terbesar negara itu.

Pengeboman berani mati pada 22 Mac, 2016 di lapangan terbang utama Brussels dan sistem metro yang mengorbankan 32 orang itu telah diakui oleh kumpulan militan IS.  

Rakyat Perancis Salah Abdeslam dan rakyat Belgium-Maghribi Mohamed Abrini dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Perancis kerana pembunuhan beramai-ramai pada 2015 di Paris, adalah penjenayah berprofil tinggi berbanding enam individu lain yang disabitkan kesalahan pada Julai.

Abrini, salah seorang pengebom ditetapkan di lapangan terbang tetapi tidak jadi meletupkan dirinya sendiri pada saat akhir, dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun.

Mahkamah memutuskan untuk tidak memberi Abdeslam tempoh penjara tambahan selepas dia dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun pada 2018  kerana menembak.

Pengeboman berani mati itu, berhampiran ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU), adalah sebahagian daripada gelombang serangan yang diakui oleh kumpulan militan IS di Eropah.

Ratusan pelancong dan kakitangan pengangkutan tercedera dan ramai mangsa, ahli keluarga dan anggota penyelamat mengalami trauma berpanjangan sejak serangan itu. 

Pihak berkuasa kemudian menambah angka kematian rasmi kepada 35 orang selepas mendapati kaitan antara trauma yang dialami dan kematian tiga orang lagi.

Beberapa mangsa terselamat dan ahli keluarga hadir untuk memberikan keterangan penuh emosi ketika perbicaran selama beberapa bulan itu.

Mangsa tiba di mahkamah di Brussels kelmarin untuk menghadiri sesi penjatuhan hukuman dalam perbicaraan lapan lelaki yang didapati bersalah terbabit pengeboman pada 22 Mac, 2016. — Gambar AFP
Mangsa tiba di mahkamah di Brussels kelmarin untuk menghadiri sesi penjatuhan hukuman dalam perbicaraan lapan lelaki yang didapati bersalah terbabit pengeboman pada 22 Mac, 2016. — Gambar AFP

Perbicaraan, yang bermula pada hujung tahun lepas, diadakan di bawah kawalan keselamatan ketat di tapak ibu pejabat pakatan tentera NATO.

Abdeslam, yang genap 34 tahun semalam, merupakan satu-satunya pelaku yang terselamat dalam serangan Paris pada 2015 yang mengorbankan 130 orang.

Dia melarikan diri ke Brussels selepas serangan itu dan bersembunyi selama empat bulan di apartmen yang menempatkan anggota militan.

Pemuda itu ditangkap beberapa hari sebelum pengeboman Brussels berlaku, namun juri memutuskan dia adalah seorang daripada perancang serangan itu.

Mahkamah Belgium menolak permohonan tertuduh untuk menjalani hukuman di negara itu dan dia perlu dihantar ke Perancis untuk menjalani hukuman di sana.

Abrini pula didapati bersalah sebagai salah seorang pengebom berani mati yang menyasarkan lapangan terbang Brussels dan stesen metro.

Pemuda itu memberikan keterangan bahawa dia memutuskan pada saat akhir untuk tidak meletupkan bahan letupannya di lapangan terbang – begitu juga dengan seorang lagi defendan, Osama Krayem, rakyat Sweden berketurunan Syria.

Krayem dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup bersama dengan Bilal El Makhoukhi dan Oussama Atar. 

Atar, seorang komander kanan dalam kumpulan militan IS, telah dibicarakan tanpa kehadirannya kerana dianggap sudah meninggal dunia  dalam pertempuran di Syria pada 2017.

Herve Bayingana Muhirwa pula dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas didapati bersalah menyertai aktiviti kumpulan pengganas manakala rakyat Tunisia Sofien Ayari yang disabitkan atas pertuduhan yang lebih ringan seperti Abdeslam, tidak dijatuhkan hukuman penjara tambahan kerana hukuman bagi kes sebelumnya dianggap mencukupi.

Mahkamah memutuskan untuk tidak melucutkan kerakyatan Belgium mana-mana banduan itu. — AFP

Advertisement