
TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menziarahi lebih 20 mangsa banjir di Kampung (Kg) Jawa Kongsi 10, di sini hari ini.
Ketua Wanita Harapan Rakyat merangkap Ketua Penyelaras Wanita GRS Zon 6A Norazian Dumit berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai keadaan banjir di kawasan kampung berkenaan, awal minggu ini.
“Sehubungan itu, Presiden Harapan Rakyat Tan Sri Liew Yun Fah berbesar hati menyumbangkan 50 bakul makanan berupa beras, telur dan biskut kepada mangsa banjir di sini dan kawasan sekitar.
“Ia selari dengan usaha GRS yang sentiasa mengutamakan dan menyantuni keperluan rakyat khususnya apabila ditimpa musibah seperti ini,”katanya.
Selain PHRS, beberapa wakil wanita daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) turut sama menjayakan program ini.
Turut hadir, wakil badan bukan kerajaan iaitu Pengerusi Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah, Sammie Liew dan Nikko Yong.
Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jawa Kongsi 10 Nasip Selamat ketika ditemui berkata, kejadian banjir baru-baru ini adalah terburuk yang pernah berlaku di sini.
“Keadaan banjir yang berlaku kali ini agak luar biasa sehingga menyebabkan banyak rumah ditenggelami air.
“Terima kasih kepada Harapan Rakyat khususnya Presiden Parti kerana sudi menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk kampung,” katanya.