
SIBU: Acara Fiesta Air pada Karnival Sibu Jaya boleh dijadikan salah satu produk pelancongan di Sibu Jaya dan Sarawak amnya.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai berkata, beliau difahamkan bahawa Fiesta Air Sibu Jaya itu adalah satu-satunya pesta air yang diadakan di Sarawak.
"Kita boleh menjadikan Fiesta Air yang meriah ini ala-ała 'Songkran Water Festival' di negara Thailand sebagai salah satu daripada daya tarikan kepada pelancong dalam dan dari luar Sarawak.
"Pada tahun lepas di Karnival Sibu Jaya 2022, Fiesta Air ini telah menarik lebih kurang 5,000 orang pengunjung yang terdiri daripada penduduk Sibu Jaya, bandar Sibu dan dari luar Sibu," katanya berucap merasmikan Karnival Sibu Jaya 2023 Edisi Kelima di sini pada malam Sabtu.
Hadir sama ialah Setiausaha MDLBS Ng Siang Wei, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili, Timbalan Pengurus Besar Amcorp Sibujaya Sdn Bhd James Ho serta ahli-ahli MDLBS yang lain.
Karnival Sibu Jaya 2023 adalah anjuran bersama MDLBS, Amcorp Sibujaya Sdn Bhd serta rakan-rakan penganjur yang lain.
Melalui pengamatannya, Sempurai berkata, Fiesta Air itu bukan sahaja boleh menjadi produk pelancongan tempatan, malahan ianya juga boleh dijadikan platform untuk kekeluargaan dan merapatkan hubungan pelbagai kaum di dalam satu acara.
Beliau memberitahu, selain daripada Fiesta Air edisi Karnival Sibu Jaya pada kali ini, acara baharu turut ditampilkan iaitu Sibu Jaya Semi Marathon 2023.
"Kita juga berharap agar acara maraton ini boleh menjadi tarikan kepada peserta-peserta daripada luar Sarawak dan boleh berkembang menjadi maraton antarabangsa yang sudah terkenal di negara kita," ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau berpendapat Karnival Sibu Jaya itu secara tidak langsung boleh merancakkan ekonomi setempat dan boleh membuka peluang kepada penduduk-penduduk yang bergiat dalam peniagaan dengan membuka gerai-gerai di tapak Pesta Ria.
Perkara itu tegasnya, secara tidak langsung akan meningkatkan dan mengembangkan lagi ekonomi setempat di Sibu Jaya secara keseluruhan.
"Saya berharap agar Karnival Sibu Jaya ini dapat meninggalkan kesan ataupun impak yang positif kepada penduduk-penduduk di Sibu Jaya dan dapat diadakan setiap tahun dengan peningkatan mutu penganjuran dan acara yang berkualiti dan lebih meriah lagi," tambahnya lagi.
Karnival Sibu Jaya pada kali ini yang bermula 16 September sehingga 8 Oktober akan dimulakan dengan memperkenalkan Ratu Etnik Sibu Jaya, Pertandingan Poco-Poco Kreatif, Pertandingan Menghias Kek Cawan dan Kelas Tarian Tango, pendaftaran 'Kenyalang Gold Card, Bantuan Khas Warga Emas dan Pertandingan Baling Damak.
Karnival itu akan diakhiri dengan acara utamanya pada 7 Oktober dengan Sibu Jaya Semi-Marathon, Fiesta Air dan Konsert Karnival Sibu Jaya 2023 yang bakal dihadiri Premier Sarawak.