
MIRI: Ratu Borneo Mrs Global Asian 2023 Kimi Tomas mengalu-alukan wanita Sarawak merebut peluang menyertai ‘Queen of the World Malaysia’ dan berpotensi mewakili negara di pentas antarabangsa di New York, Amerika Syarikat.
Katanya, pemilihan ratu tersebut berlangsung di Kuching pada 23 September dan pendaftaran dibuka kepada mereka berminat.
“Sarawak mempunyai ramai wanita jelitawan dan mempunyai perwatakan menarik untuk diketengahkan bagi digelar ratu cantik.

“Oleh itu, saya menyeru wanita-wanita seluruh Sarawak bersama hadir ke uji bakat bagi menyertai pertandingan bertaraf dunia itu nanti,” katanya.
Menurut Kimi, penyertaan terbuka kepada wanita sama ada bujang atau berkahwin berumur 18 hingga 55 tahun.
Pendaftaran dibuka dan yuran adalah pada kadar eksklusif iaitu RM388.
Kimi yang merupakan juara musim pertama Mrs Global Asian 2023 Februari lalu mengakui Sarawak mempunyai ramai jelitawan mampu diketengahkan dan berharap mereka berpotensi tidak mensia-siakan peluang disediakan itu.
“Rebut peluang tersebut kerana anda juga berpeluang menjadi juara dan bakal mewakili negara ke pentas dunia di Amerika Syarikat. Inilah peluang anda untuk menyerlah dan meningkatkan keyakinan,” jelasnya.
Mereka berminat atau mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Kimi di talian 018-3983136.