
KUCHING: Usahawan Sarawak yang menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 berjaya mencapai jualan kontrak dan langsung melebihi RM670,000.
MIHAS 2023 berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur dari 12 hingga 15 September lepas.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, 10 usahawan Sarawak yang terdiri daripada sembilan usahawan makanan dan minuman dan seorang usahawan kraf tangan dipilih menyertai MIHAS tahun ini.
Antara produk yang diketengahkan adalah mi kolok segera, kopi Sarawak, coklat Sarawak, produk gula apong dan kraf tangan Sarawak.
MIHAS 2023 merupakan program ekspo tahunan yang menempatkan pemain industri halal tempatan dan antarabangsa dalam industri makanan, farmaseutikal, kesihatan, kewangan, fesyen, kosmetik dan penjagaan diri, teknologi hijau, IT dan pelancongan mesra Muslim.
Pada tahun ini, MIHAS dilaksanakan secara hibrid iaitu pameran fizikal dan virtual.
MIHAS adalah anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Halal Development Corporation Berhad (HDC), dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan disertai oleh lebih daripada 600 pempamer daripada 40 buah negara.
Program selama empat hari itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.