Anda di sini

Tujuh korban pertempuran di Kashmir, India

Advertisement
 

SRINAGAR: Lima pegawai India dan dua pemberontak yang disyaki terkorban dalam pertempuran senjata berasingan pada minggu ini di Kashmir yang ditadbir oleh India, dengan pertempuran masih berlanjutan, kata pihak berkuasa di wilayah yang bergolak itu kelmarin.

Pada Rabu, dua pegawai tentera India dan seorang anggota kanan polis yang menjalankan operasi keselamatan di sebuah kawasan hutan di selatan lembah Kashmir telah diserang hendap dan dibunuh oleh dua lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah anggota tentera yang mengepung kedudukan mereka.

Polis Kashmir di bahagian India berkata pasukan mereka telah mengepung dua lelaki yang menurut mereka berasal dari kumpulan militan Lashkar-e-Taiba  yang berpangkalan di Pakistan.
 
“Pasukan tentera kami terus dengan azam yang tidak goyah,” menurut kenyataan polis menerusi X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Empat orang terbunuh pada Selasa – seorang anggota tentera India, seorang anggota polis dan dua pemberontak disyaki – semasa pertempuran senjata yang berpanjangan di kawasan pergunungan Rajouri.

Lelaki bersenjata pada awalnya menembak mati seekor anjing pengesan yang telah membawa anggota tentera ke kedudukan militan.

Kematian tersebut adalah yang terkini di wilayah bergolak yang majoriti penduduknya beragama Islam dan turut dituntut oleh Pakistan.

New Delhi menuduh Islamabad memarakkan serangan, dakwaan yang dinafikan oleh  Pakistan.

Selama beberapa dekad, pemberontakan untuk mencapai kemerdekaan atau penggabungan dengan Pakistan – dan operasi ketenteraan untuk membanteras pergerakan itu – telah melihat berpuluh ribu warga awam, anggota tentera dan pemberontak terkorban.

Namun kekerapan pertempuran mulai berkurangan sejak 2019 ketika kerajaan nasionalis Hindu Perdana Menteri Narendra Modi membatalkan autonomi separa di wilayah itu dan melaksanakan pemerintahan secara langsung ke atas Kashmir yang ditadbir oleh India. — AFP 


 

Advertisement